Sunday 14 November 2010

POLITIK WANITA SABAH SEMAKIN MENYERLAH



KEJAYAAN wanita Sabah dalam arena politik negara kini semakin terserlah berikutan kemenangan besar yang dicapai calon Barisan Nasional (BN) Datin Linda Tsen pada pilihan Raya kecil Parlimen Batu Sapi baru-baru ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata ini menunjukkan wanita di negeri ini mempunyai kebolehan yang tinggi, diiktiraf, diterima dan diberi kepercayaan mewakili suara rakyat di Parlimen.

"Kejayaan ini juga adalah hasil komitmen dan semangat juang yang tinggi serta keazaman yang kuat daripada semua pihak, termasuk kaum wanita," katanya ketika merasmikan Hari Wanita peringkat negeri Sabah di Dewan Tun Mustapha di Kudat, pada Sabtu.

Musa berkata sambutan Hari Wanita membuktikan pengiktirafan tinggi oleh kerajaan terhadap pencapaian dan kemajuan wanita dalam pelbagai bidang yang diceburi.

"Pastinya sambutan kali ini lebih bermakna setelah calon wanita yang mewakili Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Batu Sapi baru-baru ini telah mencapai kemenangan dengan majoriti yang lebih besar," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, kerajaan telah memperkenalkan beberapa agenda penting negara termasuk Pelan Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi yang diperincikan melalui Pelan Transformasi Ekonomi dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.

"Semua ini perlu difahami dan dihayati oleh semua rakyat, termasuk kaum wanita bagi membolehkan kita menyumbang ke arah menjayakan transformasi negara bagi mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, seterusnya merealisasikan Wawasan 2020," katanya.

Sehubungan itu, Musa berkata wanita perlu mengambil daya usaha untuk mengetahui dengan lebih lanjut pelbagai program kerajaan, termasuk pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah, agar tidak ketinggalan mendapat manfaat daripada program tersebut.

Dalam konteks ini, beliau berkata wanita perlu berusaha lebih gigih membina keupayaan, kemahiran dan kemampuan untuk terus mencipta kejayaan cemerlang dalam pelbagai sektor.

"Kemampuan dan keupayaan wanita sememangnya tidak dapat dinafikan. Sumbangan mereka melalui penyertaan dan penglibatan dalam pelbagai bidang ekonomi, sosial dan politik telah menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara," katanya.

Musa berkata kerajaan negeri akan terus mengambil kira peranan dan mengiktiraf sumbangan wanita dalam memacu pembangunan negeri. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment