Wednesday 10 November 2010

PREMIS JUAL SARANG ATAU JUDI HARAM?



Saudara Pengarang,

PENDUDUK Labuan semakin terpana dengan soal keselamatan dan ketenteraman awam di Labuan setelah kes GRO @ Pelacuran masih menjadi-jadi; kini ditambah pula dengan kegiatan judi haram.

Sebuah Premis perniagaan sarang burung TF Trading, di Jalan Bunga Dahlia, Wilayah Persekutuan Labuan yang dimiliki oleh CB Wee adalah premis perniagaan biasa sejak 15 tahun lalu tetapi eksklusif daripada mata kasar kerana dibuka pada jam 9 pagi hingga 5 petang atau istilah bahasa Inggeris ‘nine to five’.

Namun pada hari tertentu, pintu hadapan premis ini ditutup awal iaitu pada jam 3 petang dan untuk melayan pelanggan istimewanya melalui pintu belakang sehingga jam 7 malam.

Maksud hari tertentu ialah hari bertuah bagi para penjudi, hari cabutan nombor ekor, terutama 4 Digit, Toto, Magnum, STC, 88, 1+3 dan sebagainya. Walaupun tidak mempunyai lesen menjual nombor ekor atau rumah judi, namun premis ini sudah begitu lama beroperasi dan hampir semua penduduk pulau Labuan tahun, termasuklah polis yang datang memungut angpau!

Hasil daripada kegiatan haram ini, CB Wee memperolehi pendapatan lebih kurang RM200,000 bagi setiap kali cabutan. Bayangkan berapa beliau dapat sebulan? Berapa hasil masuk kepada kerajaan? Nahi! Berapa banyak masuk ke kantung polis? Hanya Ketua Polis Daerah Labuan yang boleh menjawab kerana beliau yang menjadi Sherif Lobo di Pulau Bebas Cukai, Bebas Judi dan Bebas Pelacuran ini.

Sebagai penduduk Labuan, saya kesal kenapa perkara ini harus terjadi di pulau yang ahli parlimennya beragama Islam? Sekalipun pernah difitnah mempunyai hubungan sulit dengan seorang pegawai bank, namun tidak dapat dibuktikan; berbanding dengan judi, pelacuran dan GRO.

Sewajarnya Ketua Polis Negara turun padang memantau kerja ‘anak buahnya’ yang sudah berakar tunjang di Labuan kerana subur oleh rasuah dan rabun terhadap segala kejahatan yang berlaku di Labuan.

Bagi rakyat Labuan, ada polis atau tidak di Labuan, sudah tidak memberi kesan kerana jenayah semakin bertambah, apatah lagi CB Wee tambah ‘besar kepala’; tetapi tanpa rakyat Labuan, siapa yang akan membayar gaji polis?

Jika di Amerika, CB Wee akan diseret ke mahkamah. Hartanya disita dan perniagaannya ditutup, malah terpaksa merengkok di dalam penjara secara mandatori kerana perbuatannya ditakrifkan sebagai Penggubahan Wang Haram dan Membiayai Keganasan; namun di Labuan, CB Wee adalah ‘Raja Judi’ yang terkenal sejak 15 tahun lalu.

Di mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia? Di mana Unit D7 Polis yang selama ini bersikap seperti Traktor D7 yang meradu rasuah dan bukannya membasmi maksiat di Labuan?

Salam Hormat,

ANTI JUDI, ANTI MAKSIAT


(NOTA: Sabahkini.net tidak berniat untuk memburukkan imej Polis Labuan terutama sikap Polis Labuan yang memburu wartawan Sabahkini.net seperti kucing buta memburu tikus mati. Sabahkini.net tidak akan memberi kerjasama melainkan disapena ke mahkamah. Maklumat penulis surat adalah sulit.)

No comments:

Post a Comment