Sunday 7 November 2010

RAKYAT SABAH DIUTAMAKAN DALAM RMK10



ABADI….Raime sedang mengabadikan kenangan bersama ahli persatuan PPDa SM St.Anthony. Turut kelihatan Chong, Putir, Suraimi, Jeoffrey dan Maximus serta guru-guru.

Oleh : HASSAN DALIMPOS

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) telah menggariskan agenda pembangunan untuk membantu rakyat di luar bandar agar dapat dibela sepenuhnya menjelang RMK10, termasuklah menyediakan dan memberi pelbagai bentuk projek yang boleh membantu rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan tegar.

Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi berkata dalam majlis perasmian program masyarakat belia membenteras dadah anjuran bersama persatuan pemadam dan pejabat perhubungan parlimen Tenom dengan kerjasama agensi anti dadah kebangsaan Kota Kinabalu yang diadakan di Sekolah Kebangsaan St. Pius Pamilaan Tenom disini pada Sabtu.

Katanya, rakyat di Tenom akan mendapat pembelaan apabila pelbagai agenda pembangunan yang disusun atur akan dilaksanakan menjelang tahun 2011 apabila bajet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk negeri Sabah dilaksanakan bagi tujuan pembasmian kemiskinan, peningkatan ekonomi yang stabil, pembangunan rakyat keseluruhannya di Parlimen Tenom yang tinggal di luar bandar.

Selain itu, pemimpin BN diminta terus bekerjasama dan bersatupadu menggandakan usaha membantu rakyat dengan menyemai semangat yang sedia ada dalam memastikan gagasan 1Malaysia mendapat penerimaan rakyat sepenuhnya kerana kemenangan calon BN di parlimen Batu Sapi dan Dun Galas membuktikan kini rakyat di negara ini mempunyai kesedaran bahawa hanya kerajaan BN sahaja yang mampu membawa pembangunan kepada rakyat keseluruhannya.

Raime turut menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bahawa kemenangan di kawasan pilihanraya kecil tersebut jangan dianggap terlalu selesa sebaliknya perlu sekali meningkatkan usaha mendekati dan membantu rakyat.

"Kita mahu sebuah kerajaan yang stabil dalam pelbagai aspek pembangunan termasuklah kestabilan ekonomi rakyat, pendidikan dan keharmonian dapat dijadikan inspirasi untuk menjana kehidupan yang sempurna kerana kerajaan ingin memastikan gagasan 1Malaysia dapat diterima oleh rakyat sebagai landasan perpaduan bangsa-bangsa di negara ini".

Isu pembangkang menawan kubu kuat BN di Tenom hanyalah gimik politik sebagai suatu publisiti yang bertujuan ingin mengaburi rakyat dan tanpa asas kerana terdapat rakyat yang kononnya di pihak mereka juga menerima hakikat menikmati pembangunan yang diberikan kerajaan BN melalui pelbagai projek dan bantuan yang patut disyukuri oleh mereka, katanya.

Mengenai kempen membanteras dadah dikalangan belia, Raime berkata, para belia-beliawanis perlu memerangi dadah sebagai musuh dan pemusnah nombor satu negara, ia perlu dibanteras agar rakyat tidak terpengaruh terutamanya golongan belia.

Negara akan berhadapan dengan masalah sosial yang tidak baik, kemungkinan timbulnya gangsterisme akibat penagihan dadah penyebab kepada berlakunya jenayah dimana-mana tempat dan sudah pastilah keamanan negara hancur berkecai apabila golongan ini tidak dibanteras daripada pengambilan dadah, jelasnya.

Seramai 500 orang ibubapa dan murid-murid di DUN Melalap menyertai program itu yang bertujuan mendekatkan diri kepada komuniti golongan kanak-kanak, remaja dan belia-beliawanis untuk menyebar maklumat tentang pencegahan dadah yang membahayakan diri sendiri.

Sekolah Menengah St. Anthony yang menjuarai pertandingan di kawasan pedalaman tahun lalu dan mewakili program pendidikan pencegahan dadah kebangsaan turut mengadakan pameran dengan beberapa sudut disediakan termasuklah kesan buruk rokok dan inhalan, dadah, HIV, sudut hukuman, Idola, minuman keras dan hasil-hasil karya pelajar tentang kempen pencegahan dadah turut dipamerkan yang diketuai pengetua Chong Nyuk Choon bersama 15 ahli terlibat dari persatuan PPDa sekolah berkenaan.

Dalam pada itu pelbagai aktiviti termasuk ceramah tentang bahaya penyalahgunaan dadah oleh jabatan siasatan jenayah narkotik Polis Di-Raja Malaysia Tenom Inspektor Mohd.Hafidz Md.Nor, sukaneka turut dianjurkan oleh KEMAS daerah, kuiz tentang dadah, cabutan tiket bertuah, penyampaian projek peralatan sukan dan lawatan pameran oleh Raime.

Turut hadir ialah Wakil pejabat pelajaran daerah Maximus Michael, UPKR N35 Melalap Sidekly Sunggin, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Kota kinabalu Cik Aza Eva Shalyeva Ramlee, Guru besar SK.St.Pius Jeoffrey Kudat, wakil UMNO bahagian Tenom Suraimi Magi dan pengerusi pelaksana Putir William.

No comments:

Post a Comment