Tuesday 30 November 2010

SABAH, LAND OF TAPIOCA II



Oleh: SARINA ABDUL GANIH (USM)

BAGAIKAN sirih pulang ke gagang atau belut pulang ke lumpur. Teruja hati komuniti Bajau apabila Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohd Shafie Haji Apdal kembali kepada jati diri beliau dengan memperkenalkan ‘Projek Penanaman Ubi Kayu Kasava’ (Berita Harian, 29 November 2010).

Antara isi kandungan artikel tersebut menyebut bahawa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan memperluaskan tanaman ubi kayu kasava ke seluruh negara bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar Bandar, khasnya dengan menghasilkan kepelbagaian produk seperti plastik, gam serta palet makanan ternakan.

“Penanaman ubi kayu kasava ini dikenal pasti antara kegiatan ekonomi desa yang mampu membantu menjana ekonomi rakyat kerana hasil tanaman itu boleh dituai dalam jangka masa singkat, berbanding tanaman lain seperti getah dan kelapa sawit. Kos penanaman ubi kayu kasava juga rendah dan ia tidak memerlukan baja yang banyak selain penjagaannya mudah,”katanya Shafie di Dewan Kampung Bedega, Serian, Sarawak, kelmarin.

Menurut Shafie, setelah menyedari akan hakikat keperluan tapioka sebagai sumber asli untuk menjana ekonomi penduduk luar bandar, kerajaan mula memperkenalkan tapioka sebagai sumber mata pencarian rakyat khasnya di luar bandar.

Namun agak dikesalkan kenapa perintis tapioka dimulakan di negeri Kedah dan Perak bukannya di Sabah; sedangkan keperluan tersebut lebih memihak kepada keperluan dan kepentingan penduduk Bajau Sabah. Adakah tindakan ini merupakan agenda politik pemerintah walaupun Menteri yang dipertanggungjawabkan merupakan daripada Komuniti Bajau Sabah?

Kerajaan negeri Sabah sepatutnya menerima hakikat akan demografi dan kepentingan penduduk majoriti di Sabah dengan mengambil langkah yang sama seperti kerajaan persekutuan. Gelaran ‘Sabah, Land Below The Wind’ yang diraih Sabah setakat ini belum menampakkan usaha untuk mengembalikan Sabah sebagai negeri terkaya di Malaysia kerana Sabah belum mempunyai sebarang pakej pelancongan yang unik dan kaya seperti Pulau Langkawi untuk memberi kebajikan dan kekayaan saksama kepada masyarakat setempat.

Penjenamaan semula Sabah sebagai ‘Land of Tapioca’ akan mengembalikan Sabah ke landasan sebenar sebagaimana Kedah dengan Jelapang padinya, tetapi Sabah masih seperti Abu Nuwas yang kerjanya hanya menangkap angin!

Pergantungan kepada Kelapa Sawit menyebabkan 90 peratus daripada ladang pertanian di Sabah dimiliki kapitalis luar dan rakyat Sabah kehilangan mata pencarian kerana 99.9 peratus peluang kerja di sektor kelapa sawit dimonopoli tenaga kerja asing yang bukan sahaja mendatangkan masalah kepada masyarakat malah memufliskan Sabah apabila terlalu banyak wang Sabah mengalir ke Indonesia dan Filipina.

Sektor pembalakan dan industri hiliran yang malap semakin merosot menyebabkan Sabah hilang daya saing dan kebergantungan kepada kelapa sawit mengakibatkan ketirisan yang terlalu besar kepada sumber daya ekonomi Sabah.

Walaupun selepas 47 tahun merdeka, pemimpin politik Sabah masih tercari-cari sumber ekonomi yang tidak akan malap sehingga mereka lupa bahawa tapioka adalah ‘Emas Putih’ yang dilupakan sedangkan Thailand kaya dengan hasil daripada tapioka sehingga jutaan ekar tanah Thailand menghijau dengan tanaman ubikayu yang dikenali sebagai tanaman 1,000 guna.

Kejayaan sektor pertanian ubi kayu lebih banyak bergantung kepada ‘political will’ dan dipakejkan dengan kemudahan pinjaman Bank Pertanian dan ‘contract farming’ dengan FAMA bagi memulihkan ekonomi Sabah dalam masa yang singkat hasil ‘mukjizat’ ubi kayu yang telah memulihkan sektor pertanian Thailand dan India.

Kenapa restoran di Sabah harus malu menghidangkan ubi kayu sebagai sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam ketika hampir semua hotel lima bintang menjadikan ubikayu sebagai antara menu yang termahal?

1 comment:

  1. Beberapa bulan lalu, saya ada berjumpa dengan seorang pemimpin Umno di Kunak (Ketua Penyelaras Umno DUN Kunak). Katanya, beliau memberi cadangan supaya alangkah baiknya jika ubikayu ditanam di pinggir jalanraya dekat Pangi hingga ke sempadan Kunak-L/Datu untuk meningkatkan produk tersebut di daerah Kunak.
    Beliau memberi cadangan itu atas kapasiti peribadinya.

    ReplyDelete