Tuesday 23 November 2010

YB TIDAK MINAT HADIR MESYUARAT PARTI?



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

WAKIL rakyat Kuala Penyu, John Teo Mau Sing menunjukkan sikap naik kepala apabila beliau tidak menghadirkan diri tanpa alasan dalam beberapa mesyuarat bahagian partinya termasuk mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi parti selain mesyuarat Barisan Nasional Bahagian Beaufort sebelum ini.

Sejak menjadi Yang Berhormat kawasan berkenaan, Teo yang disifatkan rakyat Kuala Penyu sebagai YB yang pelik, tidak kisah dengan mesyuarat khususnya melibatkan partinya, UPKO dan Barisan Nasional dan ini menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli-ahli jawatankuasa bahagian dan rakan-rakan komponen BN lain.

Terbaru, Teo tidak menghadiri mesyuarat UPKO Bahagian Beaufort baru-baru ini, yang dipengerusikan oleh Datuk Wences Angang yang juga Naib Presiden UPKO dan tidak pula menyatakan apa-apa alasan mengenai ketidakhadirannya.

Mesyuarat bahagian itu dianggap penting kerana selain membincangkan persediaan bahagian untuk menghantar peserta ke Konvensyen UPKO Pusat di Kota Kinabalu bulan hadapan, ia turut membincangkan peranan parti dan wakil rakyatnya di kawasan Kuala Penyu serta melakukan persiapan awal berhubung kemungkinan pilihan raya umum ke-13.

Difahamkan banyak perkara dibangkitkan dalam mesyuarat itu termasuk teguran beberapa ahli jawatankuasa bahagian berhubung sikap dan cara YB berkenaan menjalankan tanggungjawapnya sebagai wakil rakyat, kesukaran menghubungi beliau dan keengganan menjawap telefon bimbit di samping perkara yang membabitkan pengurusan parti yang banyak diabaikan oleh beliau.

Selaku ketua bahagian parti yang mempengerusikan mesyuarat, Datuk Wences telah memberi ruang kepada ahli bahagian menyuarakan pandangan dengan kesediaannya untuk mendengar dengan harapan sesuatu mpnambahbaikan dapat dilakukan di masa akan datang.

Bagaimanapun, perkara itu tidak disenangi oleh YB berkenaan lantas melemparkan tuduhan kepada ketua bahagian bahawa beliau tidak mengawal perjalanan mesyuarat tersebut.

"Ini menimbulkan kemarahan kepada wakil rakyat, beliau tidak menyenangi keadaan itu," kata seorang anggota parti yang rapat dengan YB itu melalui sms kepada krew Sabahkini.Net.

Menurut beliau, tentu ada orang dalam yang memaklumkan perkara itu kepada YB yang membuat beliau rasa marah.

Beliau memberitahu, Teo sepatutnya tidak bersikap seperti itu sebaliknya beliau seharusnya berterima kasih kerana ada orang yang memberi pandangan agar beliau boleh memperbaiki sebarang kelemahan.

Sebelum ini, Pengerusi BN Bahagian Beaufort, Datuk Lajim Ukin juga tertanya-tanya dengan ketiadaan wakil rakyat Kuala Penyu itu tidak hadir dalam Mesyuarat Jawatankuasa BN Bahagian, bersama dengan wakil rakyat Klias, Datuk Azizah Datuk Mohd Dun, di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Menurut urusetia BN Beaufort, makluman telah pun disampaikan kepada kedua-dua Adun terbabit tetapi mereka seolah-olah sengaja ‘ponteng’ tanpa memberitahu sebab-sebab ketidakhadiran mereka.

Ekoran itu, ia mengundang teguran keras daripada Timbalan Pengerusi BN Beaufort, Isnin Aliasnih bahawa sepatutnya sebagai wakil rakyat, Teo dan Azizah memberi contoh yang baik kepada ahli jawatankuasa yang lain.

"Kalau mereka yang kecil-kecil ini boleh meluangkan masa menghadiri mesyuarat, tentunya mereka yang bergelar YB tiada masalah untuk hadir," tegasnya.

No comments:

Post a Comment