Saturday 6 November 2010

YONG DIKHIANATI KAWAN, DITAKUTI LAWAN



Oleh: GONOD SUNDA

KEGAGALAN calon SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee meraih kemenangan pada di PRK Parlimen Batu Sapi meletakkan imej parti itu seolah-olah dalam keadaan tertekan, lebih-lebih lagi gelagat pemimpin BN yang tidak putus-putus memperkecilkan kewibawaan beliau memimpin SAPP.

Hakikatnya, PRK tersebut sekadar satu keputusan bersifat ‘sementara’ kerana bagi Yong ia sekadar memanaskan enjin dan menguji jentera pilihanraya SAPP bagi mneghadapi pilihanraya umum.

Malahan ramai pemimpin serpihan SAPP suatu ketika dulu dan digilap Yong sehingga boleh mengenali dan membaca huruf politik A, B dan C dengan jelas, tidak bersama Yong untuk memperkasa SAPP ketika dilanda permasalahan kepimpinan dalam BN.

Sesiapa juga pemimpin yang berada dipihak Yong selaku pemimpin utama dan pengasas SAPP, sudah pasti dia tidak akan lari dari tanggung jawabnya untuk terus menggembleng tenaga dan fikiran; untuk meneruskan dasar dan halatuju perjuangan parti itu yang berpaksikan kepada pembelaan hak asasi rakyat, maruah bangsa dan hak autonomi rakyat Sabah daripada ditindas dan terhakis oleh kuasa besar Persekutuan.

Dalam perjuangan untuk memburu keadilan dan kesaksamaan mengikut lunas-lunas demokrasi, tiada jaminan untuk kekal selama-lamanya dalam satu gagasan perjuangan yang berkonsepkan ‘divide and rule’ atas nama BN jika dirasakan sistem tersebut sekadar menguntungkan satu pihak dan ‘mengadu-dombakan’ pihak yang lain, seolah- olah dialah lebih tinggi kuasanya daripada pihak lain.

Perbezaan dominan kuasa seperti inilah yang menjadi teras kebimbangan kepimpinan SAPP yang tidak putus-putus menegur untuk tujuan membetulkan kepincangan itu selaras dengan konsep perkongsian kuasa dalam Gagasan BN; namun SAPP tidak pernah menikmati layanan baik seperti yang diharap-harapkan sebelum itu, memaksa mereka meninggalkan gagasan itu pada 17 September 2008.

Mungkin strategi perjuangan Yong dan SAPP kali ini tidak berupaya membolosi pertahanan BN yang sudah lama mengintai kelemahan-kelemahan Yong sebelum ini; termasuk memasang beberapa ‘bom jangka’ yang diberikan kepada beberapa bekas ‘rakan karib Yong dalam SAPP tetapi telah murtad’ menggalas tugas itu untuk menghancurkan Yong. Nampaknya mereka berjaya menjalankan tugas tersebut.

Yong yang kelihatan tidak sedikit pun menyesal kerana medan juang pertamanya dalam musim ini kerana telah melakukan dengan begitu cemerlang untuk menjaga kebajikan masyarakat Cina dan masyarakat lain di negeri ini sejak beliau berada dalam BN, terutamanya ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah pada 1996-1998 dalam sistem penggiliran jawatan KM yang dilhamkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pada tahun 1994.

Bagaimana pun, Yong yang mempunyai perwatakan yang tahan lasak dan daya ketahanan mental serta fizikal yang luar biasa, kelihatan tidak goyah malah seperti biasa walaupun Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Batu Sapi, Haji Mohd Hamsan Supain mengumumkan bahawa Yong tercorot ditangga ketiga, sekadar meraih 2,031 undi.

Justeru, suara-suara latar mula kedengaran sumbang yang dinyanyikan pelakon- pelakon tambahan wayang kulit BN (mungkin akan tamat kontrak selepas dapat imbuhan) mengatur dan menyusun kata berbentuk sindiran tajam ditujukan kepada Yong; namun kesemua itu adalah tradisi dan budaya badot politik sejak zaman USNO, Berjaya dan PBS lagi.

Bagi Yong, perkara yang lebih penting ialah meneruskan agenda perjuangannya bersama SAPP. Mungkin hari ini bukan rezekinya, tetapi di masa akan datang, terutamanya apabila Rakyat Sabah telah memahami perjuangan Yong, mereka sudah pasti akan menerima wadah perjuangannya.

No comments:

Post a Comment