Tuesday 7 December 2010

1MALAYSIA, 1UMMAH, 1BAJAU, 1LEMBU?



Oleh: SARINA ABDUL GANIH (USM)

JIKA Nabi Muhammad S.A.W, ikon utama berbilion rakyat di seluruh dunia berhijrah dari Mekah ke Madinah untuk mengembangkan syiar Islam; ke manakah komuniti Bajau harus berhijrah untuk memperjuangkan nasib mereka di alam maya yang semakin tidak bermaya kerana Bajau ‘dihijrahkan dari pantai ke sarang burung merpati’ (rumah pangsa) atau kolam takungan najis (kampung di paya Bakau)?

Tabii semula jadi dan naluri alami Bajau adalah laut, kelautan dan kepulauan; namun kini Bajau dipulaukan di suatu tempat; manakala pulau atau pesisir pantai yang mereka diami sejak Sabah belum bernama Malaysia; kini digunakan untuk kegiatan pelancongan, perjudian, pelacuran, kemaksiatan, pembangunan dan sebagainya yang dijenamakan sebagai ‘pembangunan’ walaupun terpesong daripada akidah Islam, agama anutan majoriti komuniti Bajau.

Sempena Sambutan Perayaan Maal Hijrah 1432, pada hari ini, saya semakin bingung dan terpana dengan senario komuniti Bajau yang terpaksa berhijrah daripada dunia tanpa sempadan (Syurga Kelautan) mereka ke padang tandus yang tidak menjanjikan sebarang harapan untuk generasi mendatang.

Kekangan birokrasi menyebabkan komuniti Bajau ‘diklonkan’ semula sebagai ‘spesis baru’ seperti Ikan Belanak Sembawa (Bangos) atau Ikan Baulu yang diambil daripada laut dan diternak di dalam kolam air payau (campuran air masin dengan air tawar mengikut nisbah tertentu) kerana senario terkini; kerajaan menempatkan sebahagian komuniti Bajau di hutan simpan paya bakau yang tidak ditebus guna sebagai tempat kediaman manusia, bagi mengekalkan tabii semula jadi mereka iaitu membuat rumah di atas air.

Beberapa kampung seperti Sabah Baru di Lahad Datu, Kampung Tinosan dan Kampung Gas di Sandakan, Kampung Numbak di Sepanggar dan sebagainya menyebabkan Bajau terus menjadi mangsa pembangunan kerana mereka dikategorikan sebagai ‘pengotor’ kerana penempatan yang disediakan tidak mempunyai sistem pelupusan sampah dan pembentungan najis.

Hidup komuniti Bajau kini saling tak tumpah seperti Lembu yang disimpan di kandang (Feedlot) yang tidak mempunyai sebarang sistem pelupusan semula jadi sehingga menyebabkan lembu berkenaan menghidap penyakit kuku dan mulut jika pemilik tidak membersihkan najis lembu berkenaan setiap hari.

Lembu yang dipelihara di ‘feedlot’ hanya menunggu masa untuk diberi makan, minum dan disuntik vitamin sehingga gemuk sebelum sedia untuk disembelih. Lembu-lembu ini tidak berpeluang untuk melepaskan naluri kebinatangan (seks) kerana pemilik Lembu melakukan permanian beradas (iaitu mengambil sperma lembu jantan yang didingin bekukan dan dimasukkan oleh Doktor Haiwan (Veterinar) ke dalam kemaluan lembu betina dengan tangan sehingga berlaku persenyawaan secara tabung uji.

Apakah begini akhirnya nasib komuniti Bajau yang dijenamakan semula dengan pelbagai etnik (etnik yang berasal daripada Filipina) semata-mata untuk merendahkan martabat mereka di kalangan penduduk tempatan; apatah lagi kawasan penempatan baru mereka masih berstatus hutan simpan yang sebelum ini dihuni oleh Monyet Bakau dan Bangkatan (Proboscis) tanpa diberikan sebarang geran; sama ada Geran Komunal atau hak milik persendirian dan terus menjadi setinggan untuk selama-lamanya.

Ke manakah komuniti Bajau Sabah harus berhijrah? Sama ada dari pinggir laut ke kandang Lembu atau kembali ke pinggir pantai yang menjadi tanah adat yang dijamin hak mereka oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Deklarasi Hak Orang Asal, sebagaimana hak Orang Kadazandusun (walaupun sebenarnya mereka ini pendatang di Sabah).

Apakah mereka akhirnya terpaksa mencontohi masyarakat India yang terpaksa menggunakan Hindraf dengan melakukan demonstrasi secara besar-besaran kerana semua ruang dan peluang tertutup bagi mereka untuk mendapatkan kembali ‘Syurga Kelautan’ yang telah digadaikan oleh kerajaan kepada kapitalis yang kini menentukan hidup mati komuniti Bajau, bagaikan lembu di dalam feedlot?.

Selamat Berhijrah Sebelum Parah!

(NOTA: Pandangan penulis berdasarkan pemerhatian dan kajian beliau sebagai ‘Anak Bajau’ dan tidak mencerminkan pandangan Sabahkini.net atau bertujuan untuk menghina Komuniti Bajau.)

No comments:

Post a Comment