Saturday 25 December 2010

21 CABANG PKR SOKONG TAMRIN?



Saudara Pengarang,

SALAM Perjuangan. Pemilihan PKR sudah selesai, segala barisan pimpinan yang berpenyakit, berkudis dan bertopengkan UMNO dan BN, nampaknya sudah beransur-ansur tersingkir dan cabut lari daripada PKR. Tahniah kepada barisan PKR yang telah berjaya dan yang belum berjaya cuba lagi. Insyallah giliran anda akan sampai juga.

Selaku Barisan Pimpinan PKR Cabang Semporna, saya amat bangga dan berkeyakinan penuh, Pengerusi MPN PKR Negeri Sabah, Ahmad Tamrin Haji Jaini telah berjaya menjalankan tugasnya semenjak bermulanya pemilihan peringkat cabang di negeri ini secara harmonis dan membanggakan.

Kewibawaan beliau menyelesaikan Krisis ‘Tebusan Peti Undi’ Cabang Semporna dalam masa kurang dari 24 jam tempoh hari; walaupun kes tersebut telah berlanjutan sehingga seminggu, telah menyerlahkan lagi kemampuan beliau sebagai pemimpin yang boleh diharapkan membawa kejayaan pada masa akan datang, khasnya pada PRU 13, khususnya di Sabah.

Walaupun Pimpinan PKR Negeri belum diumumkan bagi negeri, tetapi saya yakin kepercayaan yang diberi kepada PKR Pusat menentukan pemimpin baru MPN bagi Sabah akan diberikan kepada Tamrin untuk meneruskan misinya merampas kerajaan Sabah dari BN.

Tamrin yang dilihat sebagai pemimpin muda yang mempunyai visi dan misi kepimpinan yang sederhana, serta ‘Low Profile’ itu nampaknya lebih disenangi oleh barisan pimpinan cabang di seluruh Sabah secara majoritinya; berbanding pemimpin sebelum ini yang mempunyai kelainan dari segi pergaulan dan corak pimpinan yang agak feudal dan tidak ’up to date’.

Selaku Naib Ketua Cabang Semporna, pihak kami mengharapkan supaya tempoh kepimpinan beliau dapat diteruskan untuk menawan Sri Gaya dan Wisma Innoprise Sabah menuju puncak kejayaan PRU13.

Saya difahamkan 18 ketua Cabang Negeri Sabah secara rasmi telah meminta beliau menerus pimpinannya bagi Negeri Sabah dan telah menghantar memorandum kepada Setiausaha Agung PKR, Saudara Saifuddin Nasution minggu lalu dan 3 ketua Cabang memberikan sokongan secara lisan untuk terus menyokong Tamrin mengetuai MPN Negeri Sabah.

Dengan 21 cabang PKR Negeri Sabah memberikan kepercayaan penuh kepada beliau, maka tugas menawan Sabah adalah lebih cerah. Semoga pemimpin yang baru menyertai PKR seperti Datuk Haji Karim Ghani akan dapat berkerjasama dengan pimpinan PKR Sabah ini bagi merealisasikan impian janji ‘Autonomi bagi’ Negeri Sabah.

Saya yakin Barisan pimpinan lama seperti Haji Ansari Abdullah akan memberikan kerjasama penuh kepada Tamrin sebagai Pengerusi MPN Negeri Sabah, kerana sifat tolak ansur yang amat tinggi diberikan oleh Tamrin terhadap beliau dan memberikan laluan menjadi calon Parlimen PKR di Batu Sapi baru-baru ini membuktikan betapa Tamrin menunjukkan keikhlasannya terhadap pemimpin-pemimpin Senior PKR di Sabah.

Di samping itu Tamrin juga telah berjaya memujuk dan menarik penyokong-penyokong USNO Sabah bersamanya di peringkat Negeri dan peringkat akar umbi bagi menghadapi PRU 13 nanti.

Salam Hormat,

ABDUL KARIM AMMAD

Naib Ketua Cabang PKR Semporna.

(NOTA: Pandangan Abdul Karim bukanlah pandangan Sabahkini.net atau resolusi PKR Cabang Semporna; sebaliknya pandangan peribadi beliau sendiri yang menzahirkan sokongan kepada Tamrin berdasarkan pemerhatian dan budibicara beliau).

No comments:

Post a Comment