Saturday 11 December 2010

5 TAHUN JALAN KG MASANOI TIDAK DISELENGGARA?



KESAL….Raca Arot kesal kerana permukaan jalanraya berlubang-lubang kerana tidak pernah diselenggara sejak lima tahun lalu, termasuk jambatan usang yang membahayakan pengguna.

Oleh: MAIL MATHEW

SERAMAI 2,000 penduduk Kg Masanoi, Kemabong, Tenom menggesa kerajaan agar mempercepatkan kerja-kerja membaikpulih dan menaiktaraf jalanraya di situ yang rosak teruk dan berlubang-lubang sejak hampir lima tahun lalu tidak dibaiki, meskipun beberapa desakan telah pun dikemukakan kepada pihak berkenaan sebelum ini.

Malahan penduduk di situ seakan-akan putus asa kerana impian mereka untuk memiliki jalanraya yang baik sejauh kira-kira tiga kilometer mungkin sekadar menjadi angan- angan sahaja jika sikap pihak tertentu terus mengabaikan mereka.

“Kami tidak salahkan wakil rakyat dalam soal ini tetapi pihak pelaksana yang dipertanggung jawabkan. Mungkinkah mereka terleka mengurus masalah kami?,” kata Raca Arot, 40, selaku jurucakap kepada penduduk di situ.

Arot yang juga seorang penjaja daging khinzir di pasar pekan Tenom seterusnya berkata, dalam tempoh yang begitu lama, sudah tentulah menjadi hak rakyat, khususnya penduduk kampung di situ menagih kepada kerajaan bagi mendapatkan perkhidmatan pihak berkenaan, terutama mengatasi masalah perhubungan yang mundur.

Sebaliknya tegas Arot, ia bukanlah bertujuan untuk menekan sesiapa dalam kerajaan, tetapi ia lebih terfokus kepada pihak pelaksana yang mungkin terlepas pandang atau tersilap dalam menentukan mana satu menjadi keutamaan mereka (kerajaan).

Dalam pada itu, Juruteknik Kekal Mewah, Sameon Endim ketika dihubungi menjelaskan, bahawa jalanraya tersebut bukan tanggung jawab mereka dari segi penyelenggaraan mahupun sebarang pembaikan, sebaliknya ia adalah bidangkuasa Jabatan Kerja Raya (JKR). Bagaimana pun pihak JKR tidak dapat dihubungi kerana cuti hujung minggu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Masanoi, Netty Indab ketika dihubungi menjelaskan bahawa JKR akan mengambil tindakan segera dalam masa terdekat ini untuk mengatasi masalah jalanraya tersebut.

Netty meminta penduduk kampung berkenaan agar bersabar buat seketika kerana beliau telah diberitahu bahawa kerja-kerja pembaikan, termasuk pengaspalan semula akan dimulakan pada bila-bila masa daripada sekarang.

No comments:

Post a Comment