Wednesday 22 December 2010

ABANG MANGSA KESAL PEMBUNUH DIBEBASKAN?



NGERI… Kemalangan maut dan ngeri seperti ini sering berlaku, tetapi JKR memandang remeh sehingga Andy (gambar sisipan) mati sia-sia.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

ABANG kepada mangsa kemalangan maut di simpang Sekolah Kebangsaan Entilibon, Tongod, mendesak Ketua Polis Negara memberikan penjelasan kenapa pemandu yang melanggar mati adiknya dibebaskan tanpa syarat sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Biseh Bin Banggilon, dari Kampung Semundo Tongod, abang kepada mendiang Andy Bangilong, 36, yang maut dalam kemalangan jalanraya pada 30 November 2010 berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan pihak polis yang menjalankan siasatan sambil lewa dan tidak mendapatkan perintah tahanan reman sekalipun pemandu berbangsa Bugis yang melanggar mati adiknya.

“Ketika itu, adik saya menunggang motorsikal SAA 2834 H telah dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan 4 roda (Double Cap) ST 8778E oleh seorang pemandunya berbangsa Bugis berasal dari Tawau dan sudahpun dilaporkan kepada pihak polis Kinabatangan (K000500/2010), tapi apa tindakan polis?” tanya Biseh yang kesal kerana polis seolah-olah tidak menghargai nyawa adiknya.

“Apapun saya tidak puas hati kerana pemandu yang membunuh adik saya (Andy) begitu mudah dibebaskan tanpa apa-apa syarat dan tindakan daripada pihak polis dan pihak polis hanya memberi tahu tunggu panggilan dari mahkamah tapi sampai bila itu yang saya mahu tahu?” tanya Biseh yang meminta campurtangan Ketua Polis Negara dan Peguam Negara Malaysia.

Yang paling menyayat hatinya, kata Biseh, mayat adiknya dibiarkan terbaring di atas jalan raya setelah dilanggar oleh pemandu tersebut.

“Dia buat mayat adik saya macam anjing. Ditinggalkan begitu saja oleh orang Bugis berkenaan tanpa memberhentikan kenderaan untuk memberikan bantuan. Dia langgar lari. Mujur ada orang kampung yang menyaksikan kejadian itu membantu mengalihkan mayat adik saya ke tepi jalan,” ujar Biseh yang mendesak agar polis menjalankan tugas dengan amanah.

BONGGOL… Jalan ini memerlukan bonggol atau garisan kuning agar pemandu memperlahankan kenderaan mereka. Gambar sisipan Biseh menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.

Jalan raya penghubung antara Telupid dan Tongod, kata Biseh, setakat ini sudah 7 kali meragut nyawa orang kampung, kebanyakannya pejalan kaki yang menjadi mangsa maut dan termasuk kemalangan yang terakhir yang melibatkan adik beliau sendiri.

“Penduduk kampung, termasuk saya sendiri sudah berkali-kali berjumpa dengan pihak Jabatan Kerja Raya Telupid-Tongod supaya jalan tersebut dibubuh garis warna kuning tetapi sehingga sekarang suara orang kampung langsung tidak diperdulikan oleh JKR,” kata Biseh dengan nada kesal di atas sikap ‘Pekak Badak’ Jurutera Jabatan Kerjaraya Telupid dan Pengarah Jabatan Kerjaraya Negeri Sabah.

Disebabkan ketiadaan garis kuning di persimpangan jalan tersebut, kata Biseh, para pemandu yang tidak berhemah dan tidak mempunyai peri kemanusiaan dengan sesuka hati melanggar manusia dan binatang ternakan.

“Dalam hal ini, saya bagi pihak masyarakat kampung di sini merayu kepada pihak JKR supaya jalan tersebut dipasang bonggol ini mengelakkan pemandu memandu laju di kawasan tersebut,” ujar Biseh sekalipun menyedari jalan berkenaan ialah lebuhraya, namun usaha harus dibuat untuk memperlahankan kenderaan yang melaluinya.

Kata Biseh lagi, setiap tahun ada saja kemalangan berlaku di jalan Tongod walaupun para pejalan kaki berjalan di tepi jalan namun masih ada kesempatan dan ruang pemandu melanggar mereka.

Tambah Biseh kebanyakannya pemandu yang memandu laju sehingga terlanggar pejalan kaki dan penunggang motorsikal dialah pemandu luar, termasuk pemandu estet yang tidak berlesen.

“Saya bimbang kerana pemandu yang melanggar mendiang adik saya berbangsa Bugis dan jika pihak polis lambat membicarakan kes ini di mahkamah, nanti dia (pemandu) sudah dia melarikan ke Indonesia. Maklumlah jenis bangsa ini mereka suka memegang Kad Pengenalan seorang sampai dua tiga. Macam mana pihak polis boleh mengesan. Lama-kelamaan pihak polis dan mahkamah akan melupuskan kes ini kerana tanpa kehadiran yang didakwa semasa hari pembicaraan nanti,” tegas Biseh lagi.

No comments:

Post a Comment