Sunday 19 December 2010

AGAMA ISLAM SEKADAR DI PINGGIRAN?



Saudara Pengarang,

SEBAGAI Pengerusi JKKK Kampung Baginda, Keningau, saya tidak tahu bahasa apa lagi yang harus saya gunakan untuk merayu ehsan pemimpin Sabah terutama Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran selaku Menteri Agama Islam di Sabah dan semua pemimpin Islam di Sabah agar dapat menyelesaikan isu Masjid dan Sekolah Agama Islam (SUI) Kampung Baginda yang menunggu masa untuk ranap dan dibawa arus deras Sungai Pegalan.

Selama ini semua usaha dan rayuan kami hanya sia-sia kerana tidak ada seorang pemimpin Islam tampil membantu kami menyelamatkan ‘Rumah Allah’ dan SUI yang selama ini menjadi tempat anak-anak kami menimba ilmu Islam dan ketauhidan Islam di sebuah negara yang agama rasminya Islam, majoriti pemimpin dan rakyatnya beragama Islam; namun prasarana rumah ibadat lebih memihak kepada agama lain.

Kalaupun ada yang datang melawat hanya untuk menyemburkan air liur dan janji palsu sahaja kerana buktinya sampai sekarang senarionnya masih seperti dahulu juga; malah yang berubah hanya tebing sungai Pegalan yang semakin hari semakin hampir dengan Masjid dan SUI kami.

Kini bangunan Masjid dan SUI hanya tinggal 10 kaki daripada tebing sungai. Sudahlah bangunan masjid dibina sejak di zaman Jepun lagi, ke mana lagi kami menunaikan tuntutan agama sekiranya bangunan masjid dan SUI ini jatuh di bawa arus sungai. Ke mana kami hantar anak-anak kami bersekolah?

Salam Hormat,

ABRIHIM OMAR

Pengerusi JKKK, Kg.Baginda Keningau Sabah

No comments:

Post a Comment