Sunday 5 December 2010

ANAK NEGERI SABAH DALAM PANDORA KEZALIMAN



Oleh: MUTALIB M.D

BAK kata Syawal (P.Ramlee) dalam filem Ahmad Albab, “Bikin malu Anak Negeri” ketika adik iparnya mengadu suami mereka kena tangkap kerana mencuri; sinonim dengan isu ‘Anak Negeri’ di Sabah yang begitu memalukan kerana semua pihak memperlekehkan Undang-Undang melalui beberapa penyimpangan dan pencabulan legislatif.

Teori konspirasi yang menghalalkan rasuah menjajah Mahkamah Anak Negeri Sabah menjadikan Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu menduduki carta utama dalam Skandal Penipuan Sijil Anak Negeri Palsu terutama yang didalangi Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung.

Dialog antara Posman (Posto) dengan Syawal dalam filem yang sama sewajarnya menjadi iktibar kepada Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri yang curang apabila Posto menolak ajakan Syawal untuk minum kopi selepas menghantar surat dengan berkata, “Tak boleh minum kopi, rasuah!”.

Walaupun pengeluaran Sijil Anak Negeri Sabah dibekukan pada 1984, namun berpuluh ribu Sijil Anak Negeri Palsu telah dikeluarkan melalui jalan songsang dengan membelakangkan tarikh pengeluarannya kepada 1981 atau 1983; namun tidak mempunyai doket atau fail di Mahkamah Anak Negeri.

Dalam hal ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut dijangkiti karat rasuah, mungkin terlepas pandang sekalipun Ketua Daerah memandu Mercedes dan memiliki rumah agam yang tidak mampu dimiliki seorang Menteri Kabinet di Sabah dan Pegawai Majlis Hal Ehwal Anak Negeri pula suka melancong ke Indonesia dan Filipina untuk melanggan pelacur serta memiliki puluhan gundik di Sabah.

Paling sadis, Ketua Daerah yang diamanahkan menjaga ‘Kepentingan Anak Negeri’, berlaku khianat dan pecah amanah dengan mengesahkan Sijil Anak Negeri Palsu sebagai ‘Benar’ dan dikeluarkan Mahkamah Anak Negeri berkenaan, dengan hanya berdasarkan ‘Tandatangan’ Ketua Daerah atau Ketua Anak Negeri yang sudah meninggal dunia sepuluh atau dua puluh tahun lalu; mengalahkan tugas Unit Forensik atau Jabatan Kimia Malaysia.

Puluhan ribu Sijil Anak Negeri ‘ASPAL’ (kelihatan asli tetapi palsu) dikeluarkan secara bersindiket dengan harga antara RM10,000 hingga RM300,000, bergantung kepada status ‘pemohon’, namun diterima pakai sebagai sah untuk berurusan dengan semua instrument kerajaan seperti membeli saham amanah bumiputera, tanah NT dan segala urusan yang bersangkutan dengan ‘Hak Istimewa Anak Negeri Sabah’.

Senarionya sama seperti IC Projek yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara yang merupakan ‘X-Files’ kerajaan untuk meramaikan ‘Pengundi Bumiputera’ bagi tujuan menumbangkan kuasa politik Parti Bersatu Sabah (PBS) sekitar 1991; namun Skandal Sijil Anak Negeri ini dikendalikan dalam ‘industri skala kecil dan sederhana’ atas kepentingan peribadi, tetapi mampu menggoncangkan masa hadapan ‘Anak Negeri’ di Sabah dalam skala besar.

Ketua Daerah yang khianat dan menganut fahaman ‘Zionis’ telah menggunakan kelonggaran Defination Of Native Ordinance Cap.64 of The Law of Sabah yang kelihatan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan tapi tetap diterima pakai sehingga kini.

Dalam Ordinan tersebut jelas menyatakan pengertian ‘Anak Negeri’ seperti berikut:-

“Any person who is ordinarily resident in Sabah, is a member of a people indigenous to the Republic of Indonesia or Sulu Group of Island in The Philippine Archipelago or the state of Malaya or The Republic of Singapore, has lived as and been a member of a native community for a continuous period for five years immediately preceding the date of his claim to be a native, has borne a good character throughout that period and whose stay in Sabah not limited under any of the provisions of the Immigration Act, 1959/63 [Sec.2(1)(d)]”

‘Native Community means any group or body or persons the majority of whom are natives within the meaning of paragraph (a) of Sub Section (1) and who live under the provisions of the Rural Government Ordinance or of a Native Chief or Headman appointed under the provision of the ordinance [Sec.2 (2)(b)]

Tidak ramai pemimpin politik di Sabah yang sedar bila Syed Kechik memasukkan klausa di atas yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri Sabah sehingga menjadikan Anak Negeri Sabah dipaksa hidup bersama helang; mungkin kerana masing-masing sibuk mengejar projek dan menjaga ‘tembolok’ mereka sendiri.

Persoalan yang timbul sekarang, apabila rasuah sudah mengaburi mata dan kerajaan melindungi penjenayah, maka ramai Cina daripada China, Cina daripada Singapura, Filipina, Indonesia dan Malaya (Semenanjung Malaysia) telah diberikan ‘Sijil Anak Negeri’ sedangkan mereka bukan kumpulan ‘Indigenous’ di negara atau tempat asal masing-masing.

Cuba anda bayangkan apa ertinya ‘Sabah Merdeka’ jika yang mengisi kemerdekaan itu ialah orang asing daripada China termasuk Singapura seperti Kwan Ah Hee (dan anak-anaknya Kwan Ngen Wah, Kwan Ngen Chung dan adik beradiknya); daripada Filipina (Guam) seperti Datuk Sari Tan Nuar; daripada Pulau Pinang seperti Datuk Nasir Yeo Guan Hock dan Datuk Albert Lim Yu Ming dan berpuluh ribu lagi memiliki Sijil Anak Negeri Sabah sedangkan mereka bukanlah etnik ‘indigenous’ daripada negara asal mereka sebagaimana yang disyaratkan di dalam ‘Defination Of Native Ordinance Cap.64 of The Law of Sabah’.

Natijahnya, 90 peratus ladang di Sabah berada di bawah cengkaman ‘Anak Negeri Palsu’ ini dan Kerajaan Negeri Sabah berbangga sebagai pengeluar kelapa sawit terbesar sedangkan pemilik, pekerja dan pemegang saham syarikat berkenaan merupakan orang asing; mungkin salah satu teori kemiskinan yang berjaya dikesan Bank Dunia.

Jika pun ada ‘Indegenous’ daripada negara tersebut dan telah menetap lebih daripada lima tahun di Sabah, namun mereka tidak layak memohon kerana pengeluaran Sijil Anak Negeri Sabah dibekukan sehingga kini dan kerajaan BN tidak mempunyai kekuatan untuk membatalkan pembekuan berkenaan sehingga nasib Anak Negeri yang tulen bagaikan seekor ayam dicampak ke kolam buaya!

Pemberian Sijil Anak Negeri kepada bakal Anak Negeri bukanlah secara automatik tetapi melalui prosiding mahkamah kerana beban bukti terletak di atas bahu pemohon yang mengaku berketurunan Anak Negeri dan tidak ada kuasa lain boleh mengambil alih tugas Mahkamah Anak Negeri, sekalipun Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah yang kini menjadi penyibuk untuk menentusahkan status ‘Anak Negeri’.

Mahkamah Rayuan Anak Negeri langsung tidak berfungsi dan jika ada hanyalah bersifat ‘Mahkamah Kangaroo’ atau ‘Mahkamah Kandang Kambing’ dan menyalah guna prosedur mahkamah dengan mengadakan prosiding ‘olok-olok’ semata-mata untuk melepaskan ‘hingus di hidung’.

Namun agak malang bagi pemegang Sijil Anak Negeri yang dijadikan kambing hitam oleh Kerajaan Negeri Sabah seperti nasib yang menimpa ADUN Sri Tanjung (DAP), Jimmy Wong yang dikhuatiri memegang Sijil Anak Negeri Palsu sebagaimana yang didedahkan ADUN Sekong, Datuk Haji Samsuddin Yahya di Dewan Undangan Negeri sedikit masa lalu.

Ekoran daripada itu, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan menubuhkan Jawatankuasa Khas di bawah perkenan Tuan Yang Di Pertua Negeri Sabah untuk menilai kesahihan Sijil Anak Negeri yang dimiliki Jimmy Wong dan tindakan ini sebenarnya bercanggah dengan perlembagaan kerana jawatankuasa khas berkenaan tidak mempunyai sebarang locus-standi untuk membicarakan kes Jimmy Wong.

Persoalannya, kenapa Kerajaan Negeri Sabah tidak berani membicarakan kes Jimmy Wong di Mahkamah Rayuan Anak Negeri secara terbuka agar mereka dapat menilai niat dan kezaliman yang dilakukan kerajaan selama ini terhadap Anak Negeri Sabah; kerana tindakan tersebut hanya ibarat seperti menangkap seekor ikan ‘Tenggiri’ namun melepaskan puluhan ribu ‘Jerung’ yang berbahaya.

Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan Kerajaan British lebih sayangkan Sabah dan menjaga kepentingan ‘Anak Negeri’ berbanding dengan Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri yang ada sekarang.

Alibi yang wajar dijadikan iktibar ialah kes NCA No.2 Tahun 1959 di antara Perayu Liew Siew Yin dengan Pegawai Daerah Jesselton sebagai responden yang didengar di hadapan Hakim Rodgers J (Presiden), G.R.Hedley dan OKK Indan Kari.

Melalui Penghakiman yang dibuat oleh korum Hakim berkenaan pada 13 April 1959, mereka sebulat suara menolak rayuan permohonan Liew Siew Yin untuk diiktiraf sebagai Anak Negeri Sabah dengan alasan Liew tidak mematuhi Seksyen 3, Defination Of Native Ordinance Cap.64.

Mengikut fakta kes, Liew telah memohon ‘Sijil Anak Negeri’ daripada Mahkamah Anak Negeri Jesselton (Kota Kinabalu) untuk diiktiraf sebagai Anak Negeri Sabah. Liew dilahirkan di Kudat dan tinggal di Jesselton. Ibunya berketurunan Dusun. Manakala isterinya Sino-Dusun. Liew mendakwa tinggal bersama komuniti Anak Negeri (Native) di Kampung Ayer, Jesselton. Mahkamah Anak Negeri telah meluluskan permohonan Liew. Bagaimanapun Pegawai Daerah ketika itu membatalkan kelulusan tersebut dan prosiding Mahkamah Rayuan telah dijalankan untuk memutuskan kes berkenaan.

Keraguan yang timbul semasa perbicaraan tersebut ialah Liew gagal mematuhi Seksyen 3 Defination Of Native Ordinance Cap.64; berkahwin dengan adat istiadat Cina dan kesemua anaknya diberikan nama Cina serta tinggal bersama masyarakat majmuk.

Hakim Rogers J ketika menyampaikan keputusan penghakiman menyatakan bahawa;

“Perayu (Liew) telah diiktiraf sebagai Anak Negeri Sabah oleh Mahkamah Anak Negeri Sembulan di bawah Defination Of Native Ordinance Cap.64 yang dipinda melalui Interpretation (Defination Of Native) Ordinance No 20 pada 1958.”

“Pengiktirafan tersebut telah diketepikan oleh Pegawai Daerah Jesselton, Burbrook, yang mengarahkan keputusan tersebut dikaji semula kerana perayu tidak menjalani kehidupan lazim sebagai Anak Negeri Sabah.”

Mengikut Seksyen 3, Interpretation (Defination Of Native) Ordinance No 20 1958;

“The Appelent has to be a person ordinarily resident in the Colony and being and living as a member of the Native Community, one at least of whose parents or ancestors is or was a native within the meaning of Section 2 (1) a of Cap. 64.”

“Mengikut pandangan semua ahli Korum, Liew telah gagal membuktikan bahawa beliau mematuhi Seksyen 3. Memang benar bahawa ibunya berketurunan Dusun dan beliau menetap di kampung tersebut; tetapi beliau tidak boleh mendakwa menjalani kehidupan sebagai Komuniti Anak Negeri Sabah. Liew berkahwin dengan adat istiadat Cina dan memberi nama Cina kepada semua anaknya dan tidak membayar Poll Tax (Cukai Kepala) dan tinggal bersama masyarakat majmuk di Kampung Tanjung Aru. Kampung Ayer dan Kampung Tanjung Aru dihuni oleh sebahagian besar penduduk Cina dan Anak Negeri.”

Korum berkenaan telah menolak rayuan Liew namun bersedia menimbangkan jika beliau mengambil keputusan memohon semula selepas tempoh masa tertentu dan bersedia untuk tinggal bersama Komuniti Anak Negeri dan mematuhi Seksyen 3, Interpretation (Defination Of Native) Ordinance No 20 1958.

Kerajaan British telah menetapkan garis panduan yang cukup tepat bagi menjaga kepentingan Anak Negeri Sabah, namun setelah merdeka Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, malah Pegawai Daerah dan Mayor mengkhianati ‘Komuniti Anak Negeri’ dan menjadi ‘Petualang Negara’.

Jika mengikut tafsiran berkenaan, majoriti pemimpin Kadazandusun dan konglomerat di Sabah tidak layak memiliki Sijil Anak Negeri kerana gagal mematuhi Seksyen 3, Interpretation (Defination Of Native) Ordinance No 20 1958.

Mujur kini bukan Zaman Semerah Padi, jika tidak, kita akan berpeluang menyaksikan secara ‘live’ Kwan Ngen Wah dan saudara maranya, Datuk Albert Lim, Datuk Nasir Yeo Guan Hock, Azlan Yeo, Datuk Sari Tan Nuar, Stephen Leong dan mereka yang bersubahat melulus dan mengesahkan Sijil Anak Negeri Palsu sebagai benar dan sebagainya; boleh dihukum ‘rejam atau sula’ sampai mati!

No comments:

Post a Comment