Saturday 18 December 2010

APA JADI DENGAN KES RASUAH MUSBAH?



Oleh: ZAINUDDIN HASSAN

RAKYAT Malaysia mungkin tidak terkejut dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo; namun rakyat Sabah hairan kenapa SPRM tidak langsung bertindak terhadap Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Musbah Jamli sedangkan kertas siasatannya telah dilengkapkan oleh Mantan Pengarah SPRM Sabah, Hajjah Latifah Md Yatim (Datuk).

Kekebalan Musbah mungkin didorong ‘suatu kuasa luarbiasa’ yang menghalang SPRM menangkap Musbah untuk didakwa di mahkamah sedangkan siasatan telah dilengkapkan dan berada di tangan Peguam Negara Malaysia.

Skandal rasuah Musbah telah diketahui umum dan saya serta rakan dalam PKR telah membuat laporan rasmi, termasuk ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri setelah Musbah melarikan cukai selama bertahun dan melakukan rasuah secara terbuka terutama dalam Skandal GLC Supernesa Sdn.Bhd.

Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada SPRM kerana akibat tindakan tidak apa mereka, ‘barah rasuah’ dalam kerajaan Barisan Nasional Sabah telah mula bernanah dan pekung yang telah lama disimpan akan meletup menjelang pilihanraya umum akan datang.

Walaupun tidak ada bukti kukuh yang boleh ditonjolkan, namun kemewahan hidup yang dinikmati semua Menteri, Pembantu Menteri di Sabah melebihi kemampuan gaji mereka menunjukkan ‘wujudnya rasuah’ kerana tidak mungkin bagi seorang Menteri atau Pembantu Menteri yang hanya berpendapatan RM20,000 sebulan memiliki beberapa rumah agam bernilai jutaan ringgit dan berpuluh kereta mewah yang kebanyakannya dibeli secara tunai atau ansuran ‘pura-pura’ atau menggunakan nama kroni atau keluarga.

Mungkin tiba masanya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohammad menukarkan Pengarah SPRM Sabah dengan pengarah baru yang secergas Datuk Hajjah Latifah Md Yatim yang begitu berjaya menggempur kubu pembangkang di Pulau Pinang; sedangkan rasuah disuburkan di Sabah.

Kini rakyat Sabah mula marah kerana hampir kesemua projek perumahan yang dikendalikan Supernesa Sdn.Bhd gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian dan terus tergendala selama beberapa tahun; sedangkan pembeli terpaksa membayar ansuran bank dan dalam masa yang sama terpaksa menyewa rumah lain kerana rumah yang dijanjikan Supernesa gagal disiapkan.

Dalam hal ini, Syarikat Perumahan Negara Berhad sewajarnya membuat laporan rasmi terhadap Musbah kerana berlaku terlalu banyak ‘jenayah kolar putih’ berlaku dan dilakukan Musbah ketika beliau mempengerusikan Supernesa Sdn.Bhd berkenaan.

Bagi saya, kegagalan SPRM bertindak terhadap Musbah menunjukkan SPRM masih mengamalkan ‘Sindrom Pilih Kasih’ dan menjadi ‘Alat UMNO’ untuk menangkap pemimpin Pakatan Rakyat dengan ‘mereka’ terlalu banyak pertuduhan palsu; sebaliknya membebaskan pemimpin UMNO yang benar-benar rasuah seperti Musbah.

(NOTA: Zainuddin Hassan merupakan Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah).

No comments:

Post a Comment