Sunday 5 December 2010

BENARKAH BAJAU SABAH BUKAN ‘ANAK NEGERI’?



LAUT.... Antara Bajau dengan Laut bagaikan ikan Yu dengan gelombang; namun pemimpin Bajau tidak ubah seperti sumpah-sumpah?

Oleh: SARINA ABDUL GANIH (USM)

SETELAH 47 tahun merdeka, Komuniti Bajau di Sabah terus dipinggirkan Perlembagaan Persekutuan dan mungkin tidak dapat dikategorikan sebagai ‘Anak Negeri (Native) Sabah’ sekalipun mereka merupakan penduduk majoriti dan penentu halatuju politik negeri Sabah sejak 1972.

Komuniti Bajau yang terdiri daripada 17 sub-etnik mengikut Salsilah United Sabah Bajau (Bumi’s) Organisation (USBO) iaitu Bajau, Bajo, Badjau, Jama Mapun atau Kagayan, Balangingi, Binadan, Kubang, Sama, Sama Delaut, Simunul, Sibutu, Sikubung, Yakan, Sibaud, Ubian, Suluk dan Iranun bagaikan melukut di tepi gantang dan bertaraf ‘pelarian’ di negeri sendiri, sekalipun tanpa pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berhubung Orang Pelarian (UNHCR).

Majoriti komuniti Bajau adalah nelayan dan tinggal di pesisir pantai atau dalam istilah modern ‘Off-shore’ namun mereka kehilangan hak sebagai ‘Native’ yang lahir bersama hak ‘Customary Right’ kerana diterjemah mengikut ‘kedangkalan akal’ Pengarah Tanah dan pemimpin politik Sabah sedangkan semua tanah bertaraf ‘native’ atau ‘tanah adat’ tidak memerlukan geran, sejajar dengan Ordinan Tanah Sabah.

Istilah ‘Customary Right’ yang direka cipta mengikut acuan Kerajaan yang memerintah Sabah sehingga bukan sahaja Pengarah Tanah atau Penolong Pemungut Hasil Tanah (terutama Pegawai Daerah) ‘buta huruf’ tentang hak ‘Customary Right’, malah mereka melakukan penyimpangan dan memperdaya Anak Negeri Sabah dengan karenah birokrasi demi untuk kepentingan diri mereka.

Seksyen 13 Ordinan Tanah Sabah sudah begitu jelas menerangkan hak ‘Customary Right’, namun dipesongkan bukan sahaja oleh pegawai kerajaan yang memproses permohonan tanah, malah wakil rakyat, menteri dan Ketua Menteri tidak menyedari bahawa mereka tidak berkuasa untuk meluluskan atau campurtangan berhubung hak ‘Customary Right’.

Hanya beberapa kerat ‘Peguam Rakyat’ yang terlatih sahaja di Sabah yang tahu selok belok menuntut tanah adat yang dipaksikan dengan nama ‘Customary Right’; selebihnya adalah ‘Peguam Buta Undang-Undang’ yang bertindak seperti ‘Dracula’ dengan mengenakan caj guaman yang mahal, namun gagal dalam perjuangan untuk menuntut hak Anak Negeri Sabah di mahkamah undang-undang.

Rakyat yang ingin memohon hak ‘Customary Right’ diarah memohon PT atau Permohonan Tanah Negeri sedangkan Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) berkuasa menentusahkan sama ada tanah tersebut mempunyai hak ‘Customary Right’ ataupun tidak; apatah lagi Ketua Menteri dan Pengarah Tanah tidak mempunyai locus-standi berhubung hak ‘Customary Right’ berkenaan.

Berdasarkan peruntukan di dalam Seksyen 15 Ordanan Tanah Sabah 1930, ‘Native Costumary Right) bolehlah ditafsirkan seperti berikut:-

a) Sebidang tanah yang dimiliki dan diusahakan Anak Negeri;

b) Tanah yang telah ditanam buah-buahan sekurang-kurang 50 pokok atau ke atas bagi setiap hektar;

c) Pokok buah-buahan, sagu, rotan dan tanaman bernilai ekonomi yang dapat dibuktikan telah ditanam, dijaga dan dituai oleh pemohon sebagai hak peribadi;

d) Padang ragut yang dipelihara sejumlah lembu atau kuda;

e) Tanah yang telah ditanam atau dibina rumah sepanjang tempoh 3 tahun berturut-turut.

f) Tanah kuburan atau rumah ibadah

g) Laluan umum yang digunakan oleh manusia atau binatang daripada sungai, jalan atau rumah kepada sebahagian atau kesemua yang tersebut di atas.

Mengikut tafsiran di atas, semua kawasan yang menjadi tempat nelayan mendarat atau tempat Anak Negeri mencari makan iaitu di sepanjang pesisir pantai dan sebagainya adalah tanah adat yang mempunyai hak ‘Customary Right’.

Namun kini senarionya sudah jauh berbeza kerana Komuniti Bajau telah ‘dihalau’ daripada ‘habitat semula jadi mereka’ iaitu di pesisir pantai ke tepi jalan atau paya bakau atau ke rumah mesra rakyat atau PPR yang tidak ubah seperti sarang burung.

Di mana pemimpin Bajau ketika Kerajaan Negeri Sabah merobohkan rumah ‘Komuniti Bajau’ tanpa belas ehsan pada 2002 melalui ‘Ops Nyah II Bersepadu’ yang mensasarkan operasi memburu Pendatang Asing Tanpa Izin yang berkoloni di pinggir Bandar; tetapi pihak berkuasa yang menjalankan operasi mengubahkan sasaran dengan merobohkan rumah penduduk tempatan yang 99.99 peratusnya adalah Komuniti Bajau tanpa sebarang pampasan?

Keterangan Mantan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Pahlawan Ramli Yusof di Mahkamah Tinggi Sandakan yang disiarkan Sabahkini.net bertajuk ‘Kenapa CP Salahguna Kuasa Tidak Diambil Tindakan?’ yang disiarkan pada 18 Mei 2010 cukup memalukan pemimpin Bajau yang kelihatan ‘Bacul’ kerana membisu seribu bahasa ketika lebih 50,000 Komuniti Bajau sedang dizalimi kerajaan yang memerintah.

Mungkin kerana faktor majoriti Komuniti Bajau tidak menyedari hak mereka yang dijamin Perlembagaan Negeri, Persekutuan dan 20 Perkara, maka pemimpin kerajaan yang memerintah merejam mereka dengan teori Michiavelli dan menghalalkan cara asalkan pemimpin dan kroni mereka mengaut keuntungan besar apabila meluluskan tanah pesisir pantai milik azali Komuniti Bajau kepada konglomerat asing dan kapitalis.

Alangkah malunya Bajau Sabah yang diagung-agungkan sebagai ‘Pahlawan Darat dan Pahlawan Laut’ akhirnya tewas kepada tipu muslihat ahli politik ‘Pak Kaduk’ yang bukan sahaja ‘melacurkan ibu pertiwi’ malah menyembelih hidup-hidup Komuniti Bajau yang kini terpaksa bersetinggan di atas tanah kerajaan; terutama di tepi sungai, di hutan simpan, di tanah persendirian, di bawah jambatan, di kandang babi, di kandang kambing; malah di tanah perkuburan.

Walaupun lebih 25 orang Adun di Sabah daripada Komuniti Bajau, namun mereka bersifat seperti ‘Chameleon’ atau ‘Sesumpah’ yang bertukar warna kulit mengikut suasana sehingga menjadikan Komuniti Bajau sebagai ‘arang yang dibakar’ untuk mendapatkan bara bagi memanggang ‘nasib dan masa hadapan’ yang tidak menentu kerana agitasi politik semasa.

Selaras dengan pengertian bahawa Komuniti Bajau secara tabiinya tinggal di pinggir laut, darat atau tebing sungai; maka sewajarnya semua pinggir pantai dan kawasan darat yang dihuni oleh Komuniti Bajau merupakan tanah adat Bajau kerana di situlah mereka menetap, menjalankan kegiatan bertani, menternak dan menangkap ikan dan menjalani kehidupan sejak zaman berzaman.

Bagaikan ikan yang dipisahkan daripada air, Komuniti Bajau tidak ubah seperti ‘Kihampau’ atau Ikan Pari Masin kerana mereka tidak lagi mempunyai ‘laluan’ untuk ke laut, hutan untuk memburu, tanah kuburan, rumah ibadah dan segala keperluan tradisi mereka setelah semua tanah di pinggir laut, terutama di bandar telah dimilik negarakan dan ‘difaraidkan’ kepada kapitalis yang mampu membeli ketaat setiaan wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Kawasan kampung tradisi Komuniti Bajau telah dijenamakan semula sebagai ‘Setinggan’ (Stinggarden) oleh pihak berkuasa tempatan yang bertindak sesuka hati meroboh dan menghapuskan ‘etnik’ dan koloni Komuniti Bajau di pinggir bandar.

Pegawai Daerah yang mewarisi budaya penjajah dan rasuah terus ‘Glamor’ dengan jawatannya mengalahkan perangai ‘Residen British’ yang menyenarai hitamkan ‘Stinggarden’ daripada sebarang projek pembangunan; jika ada pun, hanya projek Zing dan jambatan kayu.

Namun agak aneh kerana ‘Undi’ mereka pula dihalalkan kerajaan yang memerintah dan turun memancing undi pada setiap kali pilihanraya umum dengan janji untuk membangunkan ‘Stinggarden’, namun setelah menang, Pegawai Daerah mengatakan tidak dapat berbuat apa-apa kerana status perkampungan tersebut adalah ‘Setinggan’.

Ibarat jatuh, ditimpa tangga, penduduk ‘Stinggarden’ hanya menjadi ‘pemerhati’ apabila rumah mereka terbakar kerana kerajaan tidak akan membayar walau satu sen pun, melainkan jika ada pihak yang kasihan mengkategorikan kawasan tersebut sebagai tanah bergeran.

Nostalgia dan tragedi memilukan kembali mengimbau kenangan saya yang pernah menetap bersama keluarga dan suku-sakat Komuniti Bajau di Kampung Singgahmata Lahad Datu.

Kampung tersebut merupakan tanah tumpah darah kelahiran saya, sekaligus tanah adat nenek moyang saya. Namun pada tahun 1997, hampir 90 peratus rumah di kampung tradisi tersebut terbakar dan kami diarahkan berpindah ke tempat lain tanpa mendapat pampasan dan bantuan daripada pihak kerajaan, sekalipun kami adalah warganegara Malaysia, membuktikan Komuniti Bajau bukanlah Anak Negeri Sabah!.

Tanah kampung tradisi tersebut kemudiannya dirampas oleh pihak tertentu dan Wakil Rakyat Bajau sendiri yang bertanggung jawab meluluskan tanah tersebut kepada sebuah syarikat Bursa Saham Kuala Lumpur, Kwantas Corporation Berhad (Pengarahnya memegang Sijil Anak Negeri Palsu); yang mendapat kemenangan berganda pada 2002 melalui Ops Nyah II Bersepadu apabila seluruh Kampung Singgahmata dan semua kampung yang dihuni Komuniti Bajau telah dijadikan ‘Padang Jarak, Padang Terkukur’ dan diluluskan kepada ‘Pengkhianat Bangsa’.

Natijahnya, Komuniti Bajau Sabah kini kehilangan segala hak mutlak dan hak asasi mereka, terutama tanah dan terus menjadi pelarian di negeri sendiri. Sebelum ini, Komuniti Bajau turut menderita dilanyak oleh Kerajaan Parti Bersatu Sabah kerana ramai pelajar yang menuntut di luar Negara terpaksa pulang ke Sabah setelah biasiswa mereka dibatalkan.

Bayangkanlah hidup di negara orang tanpa biasiswa sehingga ramai pelajar tajaan Yayasan Sabah terpaksa mengikat perut dan berkongsi sebuku roti dan bekerja untuk mendapatkan tambang pulang dan menyambung pelajaran di universiti tempatan. Di mana pemimpin Bajau ketika itu?

Nasib mereka lebih malang di zaman pemerintahan Barisan Nasional kerana Komuniti Bajau semakin tersisih dan dinoda hak mereka ketika kaum yang dikategorikan sebagai Imigran seperti Kadazandusun dan Murut mendapat Geran Komunal; sedangkan Komuniti Bajau di Mount Pock dan Tanjung Nagus di Semporna dirampas hak mereka dan diserahkan kepada anak syarikat ‘Saham Sabah Berhad’ selama 25 tahun tanpa sebarang pampasan.

Apakah Komuniti Bajau Sabah akan terus menghalalkan tindakan parti pemerintah menjadikan mereka sebagai ‘anjing politik’ pada masa kini, akan datang dan sampai bila-bila, atau melakukan anjakan paradigma yang akan merubah 360 darjah destini Bajau?


(NOTA: Pengarang menggunakan sudut pandangan beliau sendiri dalam menghuraikan isu sensitif ini. Sekiranya ia bercanggah dengan peraturan atau undang-undang yang berkuatkuasa, maka pandangannya bukanlah mandatori dan bolehlah diabaikan.)

No comments:

Post a Comment