Friday 17 December 2010

GUNA JALAN KUDA SEJAK 32 TAHUN LALU



GRAVEL…Jalan berbatu kelikir ini tidak pernah dinaik taraf sejak dibina kerajaan BERJAYA pada 1978 lagi.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

BAK kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Namun bagi penduduk kampung Lobon-Lobon dan Kaumpung Kaung di Kota Belud, sekalipun mereka mempunyai kemahuan untuk mendapatkan jalan berturap, namun kerajaan masih gagal menaiktaraf ‘Jalan Kuda’ yang dibina Kerajaan Berjaya sejak 32 tahun lalu.

Jalan gravel sepanjang lebih kurang satu kilometer yang menghubungkan Kampung Lobon-Lobon dan Kampung Kaung Kota Belud tidak pernah disentuh oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga meresahkan penduduk kerana permintaan mereka tidak pernah mendapat layanan setimpal.

Salah seorang penduduk yang mengirim E-mail berupa gambar dan sedikit teks kepada wartawan sabahkini.net namun meminta agar namanya dirahsiakan meminta pihak Sabahkini.net menyiarkan masalah jalan ini supaya kedua-dua wakil rakyat, termasuk ADUN dan Ahli Parlimennya tahu apa yang sudah terjadi terhadap jalan tersebut.

“Sudah sekian lama jalan tersebut tidak pernah dibaik pulih dan jalan ini juga sebenarnya adalah peninggalan warisan dizaman pemerintahan BERJAYA yang membina jalan tersebut untuk kemudahan penduduk-penduduk kampung berhampiran” katanya.

“Kami hairan peruntukan kerajaan berjuta-juta ringgit disalurkan ke negeri ini, tetapi kenapa jalan kampung kami cuma sejauh satu kilometerpun susah hendak dinaik taraf. Ke mana sudah perginya duit semua itu?” tanya penduduk itu lagi.

Kata penduduk kampung berkenaan, mereka memberi kemenangan kepada kedua-dua Wakil Rakyat BN (Adun dan MP) supaya mereka boleh membantu msyarakat di kawasan ini tetapi undi mereka hanya sia-sia.

“Kami juga inginkan kemudahan asas untuk keselesaan kami yang punya jalanraya yang bagus macam di kawasan lain dan bukan seperti sekarang ini. Kita bimbang rakyat tidak dapat bersabar lagi dan memberikan undi mereka kepada pembangkang pada pilihanraya umum akan datang kerana undi BN hanya seperti mencurah air di daun keladi,” ujar penduduk tersebut.

1 comment:

  1. di Parlimen bukan main lantang mengutuk Pembangkang..tp tempat sendiri tak terjaga..apa punya MP Sabah yg berlagak memperjuangkan HAK SABAH..CAKAP TAK SERUPA BIKIN

    ReplyDelete