Thursday 16 December 2010

INSTITUSI KELUARGA PERLU DIPERKASAKAN



SAMPAIKAN….Datuk Radin kelihatan sedang menyampaikan peralatan seminar kepada salah seorang peserta.

Oleh: MAIL MATHEW

TERAS membina benteng penghalang untuk menghadapi segala cabaran dan permasalahan yang akan datang dalam masyarakat moden ini haruslah diterapkan penghayatan ilmu keagamaan sesuatu perkara penting kerana ianya dapat menjadi pembimbing dan pedoman bagi masyarakat di negara ini. Institusi kekeluargaan adalah satu-satunya institusi yang amat penting dalam masyarakat.

Adalah wajar sekiranya elemen kasih sayang dapat dipupuk bermula dalam keluarga itu, sebagai penekanan kepada institusi keluarga sebagai asas dalam usaha menjadikan Negara maju menjelang tahun 2020.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Radin Malleh berkata demikian ketika merasmikan seminar program Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom, Tenom, kelmarin.

Hadir sama di majlis itu, Pengarah LPPKN Sabah Abdul Halil Omar, Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Clarence Puin Pinduruh, para Pegawai Negeri dan Persekutuan serta para pemimpin masyarakat tempatan.

Tegasnya lagi, antara peranan para ibu bapa terpenting ialah merangkumi tanggung jawab memberi pendidikan dan pelajaran, menjadi role model, memberi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan lain lain lagi yang terpenting dalam konteks membentuk kepribadian akhlak yang mulia menjurus kepada penjagaan maruah yang baik dalam masyarakat.

“Saya menyeru saudara saudara sekalian termasuk diri saya sendiri, agar menjayakan proses mewujudkan amalan keluarga bahagia masyarakat sejahtera dalam keluarga masing-masing supaya apabila perkara ini dapat diwujudkan maka ianya akan membantu kejayaan kesejahteraan semua ahli keluarga,” tegas Radin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) kawasan Melalap seterusnya berkata bahawa institusi keluarga merupakan tunjang kepada perubahan masyarakat dan beliau berharap amalan amalan sedemikian dapat diwujudkan dalam setiap keluarga.

Tambahnya lagi, dalam arus pembangunan masyarakat moden, dunia akan menjadi luas dan sempadan yang wujud sebelum ini akan menjadi terbuka luas yang merangkumi penyebaran maklumat seterusnya lebih cepat menerusi teknologi perhubungan yang semakin moden pada ketika ini.

Dalam konteks kekeluargaan tegas Radin, beliau melihat unit asas masyarakat yang perlu diperkukuhkan adalah amalan bersatu padu dan produktif supaya mampu menghadapi pelbagai cabaran dalam persekitaran yang senantiasa berubah.

“Saya berharap setelah difahamkan bahawa program remaja yang dijalankan semalam telah memberi input pengetahuan dalam mengelakkan diri mereka dalam keterlibatan kesihatan produktif di kalangan remaja sebaliknya menghindarkan mereka terjerumus di dalam kegiatan negatif yang tidak bermaruah,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau berkesempatan meluahkan harapan tingginya agar semua maklumat yang mereka perolehi dari para penceramah pada seminar tersebut dapat dimanfaatkan dengan sebaik baiknya oleh semua lapisan masyarakat dalam konteks pembangunan Negara terutamanya memperkasakan institusi keluarga.

No comments:

Post a Comment