Tuesday 28 December 2010

ISA TELAH SELAMAT, SUHAILI MASIH DIGANTUNG?



Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

MANTAN Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad yang sebelum ini terpaksa meletakkan jawatan setelah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana mengamalkan politik wang telah ‘diselamatkan’ Presiden UMNO yang berkenan melantik Isa sebagai Pengerusi FELDA yang baru menggantikan Tan Sri Yusof Noor berkuatkuasa pada 1 Januari 2011.

Namun Ketua UMNO Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang telah dibebaskan mahkamah setelah membayar denda dan dibenarkan memegang semula jawatannya oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia masih digantung tidak bertali oleh Majlis Tertinggi UMNO sejak 15 April 2009.

Pengguguran jawatan Suhaili dibuat setelah beliau didakwa di mahkamah, sebagaimana keputusan terdahulu (precedent) serta selaras dengan Perlembagaan UMNO, Fasal 10.10 yang memberi kuasa kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk melucutkan jawatan mana-mana Ahli Badan Perhubungan, Jawatankuasa Bahagian dan Cawangan atas apa-apa sebab sekali pun yang dibaca bersama Fasal 10.16 iaitu mengambil sebarang langkah selain daripada perkara-perkara yang tersebut di atas bagi kesempurnaan perjalanan parti.

Mengikut surat Pendaftar Pertubuhan Malaysia, PPM. WKL. 251/88 bertarikh 12 Mei 2010, yang ditandatangani sendiri oleh Pendaftar, Dato' Hj Md Alias Haji Khalil, Suhaili dikecualikan dari pemakaian ketidaklayakan di bawah seksyen 9A, (1) (b) Akta Pertubuhan 1966 dan boleh menjawat semula jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Labuan.

Namun sehingga kini, Setiausaha Agung UMNO, ‘Tengku’ Adnan ‘Tengku’ Mansor belum membawa isu pelepasan ROS ini ke Mesyuarat Pengurusan bagi membolehkan Suhaili kembali memegang jawatan setelah beliau mengaku bersalah di mahkamah dan membayar denda RM10,000 yang dijatuhi Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu berhubung pertuduhan gagal memaklumkan statusnya yang muflis kepada pihak bank.

Senario kini agak terbalik apabila UMNO enggan mengiktiraf pelepasan yang diberikan ROS; apatah lagi Suhaili sebenarnya menjadi mangsa konspirasi kerana kes muflisnya telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah berbanding dengan kes Awang Rakawi Mohd Said (Allahyarham) yang dijatuhi denda RM8,000 oleh Mahkamah Kota Kinabalu yang tidak mendapat sebarang pelepasan daripada mahkamah dan ROS; tetapi dibenarkan bertanding jawatan di UMNO Sipitang ketika itu.

No comments:

Post a Comment