Wednesday 1 December 2010

JAMAWI YAKIN TENOM TERUS AMAN



Oleh: NUR NATASYA ABDULLAH

JOLOKKAN kawasan aman oleh Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Haji Omar terhadap daerah Tenom ketika lawatan beliau sempena perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini baru-baru ini bukannya suatu ungkapan olok-olok namun di sebaliknya ia suatu perkara yang serius dan jujur berdasarkan maklumat keadaan sebenarnya.

“Titik tolak daripada kenyataan Tan Sri KPN itu warga Tenom perlu terus mengekalkannya dan melipatgandakan lagi kerjasama yang rapat sekali dengan PDRM dalam membanteras kegiatan jenayah mahupun masalah soial masyarakat di kalangan remaja,” kata Jamawi Jaafar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tenom kepada Sabahkini.net pada Ahad.

Beliau berkata bahawa ungkapan seorang berjawatan No.1 Negara dalam sektor kepolisian bukan mudah dilafazkan begitu sahaja jika ianya tidak dipastikan bahawa sesuatu kawasan atau daerah itu benar benar aman dan bebas daripada sebarang kegiatan keganasan mahupun jenayah tinggi.

Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Pusat dan Pegawai Khas Kementerian Pembangunan Luarbandar dan Wilayah Persekutuan seterusnya berkata, beliau menyeru para ibu bapa dan juga para belia agar menghindarkan diri dan anak anak mereka daripada pelbagai kegiatan negatif seperti budaya lepak dan gejala sosial yang bakal menghancurkan masa depan mereka.

Tegasnya lagi, penurunan indeks jenayah ke paras yang lebih rendah bagi dua tahun berturut turut (2009 dan 2010) bagi daerah Tenom janganlah dijadikan sebagai sandaran untuk terus berfoya-foya lalu leka dari mengawal diri masing-masing sehingga terjerumus ke lembah bahaya yang sukar untuk dipulihkan kembali sebagai seorang insan yang berguna.

“Kita mahu tunjukkan bahawa daerah Tenom boleh melakukan yang terbaik dengan terus mensifarkan jenayah didaerah ini untuk seterusnya. Kita juga bertekad untuk terus memberi kerjasama kepada PDRM dalam membanteras kegiatan jenayah dan gejala sosial disini,” tegas Jamawi yang mengharapkan agar saranan KPN itu terus tertanam di sanubari setiap masyarakat di sini.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan lawatan Tan Sri KPN bersempena dengan perasmian IPD baru oleh TYT baru-baru ini amat bertepatan sekali malah amat bermakna kepada masyarakat sekeliling daerah di sini kerana lawatan itu merupakan lawatan julung-julung kalinya setelah dilantik sebagai KPN.

No comments:

Post a Comment