Tuesday 7 December 2010

JANGAN PERSOAL KEDAULATAN PERLEMBAGAAN



DATUK Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata semua perkara yang sudah disepakati oleh pengasas-pengasas negara terutama sekali perlembagaan yang berdasarkan kontrak sosial antara kaum tidak seharusnya dipersoalkan.

“Kita hendaklah beringat dan berpegang teguh kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui dan dimaktubkan oleh bapa-bapa kita, generasi yang lalu, sejak sekian lama sehingga kita berada dalam suasana seperti hari ini,” katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, di dalam menjaga hubungan antara kaum pula, setiap rakyat hendaklah peka kepada sensitiviti serta mengelak daripada perbuatan, tindakan atau tutur kata yang boleh melukakan saudara daripada kaum-kaum lain.

“Kalau dua aspek itu dapat dielakkan banyaklah suhu panas akan reda dalam negara kita dan saya percaya ia juga boleh membawa kepada pengukuhan perpaduan nasional dan kestabilan politik negara kita,” katanya.

Najib berkata, kedua-dua aspek itu juga penting dalam pengurusan politik negara turut melibatkan hubungan antara kaum.

“Kita selalu sebut bahawa tonggak kepada negara kita ialah perpaduan nasional dan kestabilan negara (tetapi) kestabilan itu akan terancam kalau kita tidak dapat menguruskan perhubungan kaum dengan begitu baik,” katanya.

Najib berkata, gagasan 1Malaysia amat perlu dihayati, difahami serta diamalkan khususnya kepada penjawat awam dalam apa jua yang dilakukan supaya dapat menjadi contoh dan teladan kepada penjiwaan serta amalan 1Malaysia.

“Ingatlah menjadi tanggungjawab kita memelihara negara kita untuk anak-anak dan cucu kita, janganlah yang elok itu menjadi retak dan janganlah yang sudah bersambung itu menjadi putus,” katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment