Sunday 12 December 2010

JOHN TEO SEPERTI CACING KEPANASAN



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

SEPERTI cacing kepanasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing apabila dikritik berhubung pengagehan peruntukan Adun di kawasan beliau selama ini, lantas dengan penuh emosi beliau memberi penjelasan di dalam blog wakil rakyat tersebut, http://adunn26kualapenyu.blogspot.com/.

Dengan menyertakan apa yang beliau sebut sebagai senarai projek Adun yang telah dilaksanakan walaupun perkataannya sukar dilihat dengan mata kasar, John Teo meminta pengkritik supaya membuka minda dan terangkan hati dan hanya mempersoalkan agehan peruntukan Adun beliau.

Penjelasan beliau itu berikutan teguran Ahli Jawatankuasa Perkasa Sabah, Awang Ramle Mohd Gatie oleh kerana peruntukan Adun telah dinaikkan kepada RM1 juta mulai tahun depan, wakil rakyat itu seharusnya memanfaatkan peruntukan tersebut di merata tempat di Kuala Penyu bukan sekadar memilih tempat tertentu dan hanya menggunakan kontraktor yang mempunyai kaitan rapat dengan beliau.

Menurut Ramle, rakyat mempersoalkan agehan peruntukan itu kerana mendakwa mereka tidak melihat apa projek yang telah dilaksanakan sebelum ini selain Adun tersebut tidak pernah berusaha untuk berkomunikasi dengan ahlli-ahli Umno dan PBS di kawasan tersebut.

"Rakyat tahu apa yang berlaku di kawasan ini tetapi mereka tidak berani bersuara tetapi saya berani membuat teguran sebagai mewakili pengundi dan tiada apa-apa kepentingan, malah saya tidak pernah memohon sebarang projek daripada Adun berkenaan," katanya yang juga bekas Setiausaha Kerja Pemuda Umno Bahagian Kimanis (kini dikenali bahagian Beaufort).

Pemerhati politik di kawasan ini menyifatkan penjelasan John Teo di dalam blog beliau itu sebagai langkah untuk menegak benang yang basah kerana begitu terdesak ekoran rakyat telah mulai meragui ketelusan dan keikhlasan terhadap pengundi yang telah memberi kemenangan kepada beliau pada pilihan raya yang lepas.



"Pokok takkan bergoyang jika tidak ada angin. Orang tidak akan mengkritik jika apa yang dilakukan oleh wakil rakyat mereka adil dan tidak memberi tumpuan di kawasan tertentu saja."

"Kalau beliau meminta mereka yang berani mengkritik membuka mata dan minda, kita fikir sebagai YB dan pemimpin, beliau seharusnya memberi teladan yang baik terlebih dahulu dan bukannya terus melenting dan naik angin," ujar pemerhati politik.

Malah teguran Awang Ramle seharusnya menjadi ikhtibar oleh Adun tersebut kerana rakyat biasa di Kuala Penyu tidak akan berani membuat teguran demikian melainkan mereka hanya menunggu semasa pilihan raya.

Tetapi adakah sebagai rakan dalam komponen Barisan Nasional membiarkan saja sebarang kelalaian atau kecurangan seseorang wakil rakyat dan menunggu satu penggal pilihan raya iaitu lima tahun, baru membuat teguran dan bantahan? Ini adalah satu tindakan yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat yang telah mengundi memenangkan calon tersebut.

Ada juga pandangan mahu wakil rakyat tersebut berundur atau meletak jawatan sebagai Adun lebih awal sebelum tiba musim pilihan raya umum ke-13 sekiranya beliau tidak dapat menerima teguran daripada terus menjadi wakil rakyat hanya kepentingan diri sendiri dan golongan tertentu.

Wakil rakyat sepatutnya berfungsi sebagai mewakili rakyat, mudah dihubungi rakyat, adil untuk semua, tidak memilih buluh, telus dalam melaksanakan peruntukan, beri peluang lebih banyak kontraktor yang layak dan mempunyai hubungan yang baik dengan ahli-ahli parti komponen BN.

No comments:

Post a Comment