Friday 3 December 2010

KAJI SEMULA RMT UNTUK PELAJAR MISKIN



Oleh: MAIL MATHEW

TIMBALAN Ketua Parti Keadilan Rakyat, (PKR) bahagian Pensiangan Affendy Hasbollah @ Lukan, 53, menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengkaji semula peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi tahun 2011 sama ada sekolah-sekolah kawasan luar bandar khususnya di daerah Nabawan telibat dengan pengurangan itu.

Tegasnya, dengan perubahan tersebut beliau meminta pihak Kementerian wajar memberi penjelasan kepada para ibu bapa sebab-sebab ia berlaku, sama ada kerajaan mahu berjimat cermat atau kerajaan kekurangan dana untuk tujuan itu.

Tegasnya, beliau kesal kerana Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Nabawan sahaja telah dikurangkan penerimanya kepada 14 pelajar sahaja sedangkan sebelum ini seramai 500 pelajar mendapat kemudahan berkenaan.

“Kerajaan harus mengambilkira bahawa penduduk di Pensiangan masih berada di bawah garis kemiskinan dan disebabkan kemiskinan, para ibu bapa terus bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata untuk memajukan pembelajaran anak-anak mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan di Nabawan sebentar tadi.

Affendy menegaskan, perubahan tersebut berkemungkinan akan menjejaskan pembelajaran kanak-kanak sekolah yang bermula tahun depan (2011) kerana rata-rata pelajar yang dibantu terdiri daripada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman yang terpaksa meredah bukit bukau dan hutan belantara setiap hari.

Dalam pada itu, Affendy turut menerima banyak aduan daripada para penerima program e-kasih kerana hampir 70 peratus senarai lama telah tercicir daripada senarai terbaru, sedangkan mereka ini (penerima e-kasih) yang benar-benar layak sebagai penerima.

“Kita dapati dalam senarai terbaru, ramai penerima yang tidak layak menerima e-kasih kerana berkemampuan tetapi turut tersenarai sebagai penerima bantuan tersebut,” ujar Affendy yang mendesak agar SPRM dan Jabatan Audit Negara menjalankan siasatan rapi.

Affendi dengan nada tegasnya berkata, keberkesanan NKRA harus dimantapkan dengan pemantauan berterusan SPRM dalam menangani penyelewengan di setiap jabatan, jika tidak, bidang NKRA akan menjadi sia-sia dan seterusnya tidak membantu kerajaan mencapai misinya.

No comments:

Post a Comment