Saturday 18 December 2010

“KALAU BOSS SURUH ‘MAKAN TAHI’, YOU MAKAN?”




Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

RAJA Penggubahan Wang Haram Asia, Michael Chia Thien Foh, mungkin melakukan kegiatan ‘Mafia’ apabila ‘memeras ugut’ para pembalak yang mendapat konsesi, sama ada untuk kepentingan peribadi atau pihak lain yang berkepentingan.

Dalam perbicaraan kes terbarunya, seorang saksi, Edward Koh, telah memberi keterangan di hadapan Hakim Elsie Primus bahawa pada 8 Jun 2004, lebih kurang jam 9.00-9.30 pagi, beliau bersama seorang usahawan, Datuk Agus Hassan Tan telah ke Wisma Innoprise untuk berjumpa Pengurus Besar Kumpulan Rakyat Berjaya Sdn.Bhd (anak syarikat Yayasan Sabah), Daud Tampokong untuk menyerahkan surat daripada Peluamas sebagai makluman untuk menggerakkan jentera pembalakan ke Konsesi BW12/02 bagi memulakan kegiatan pembalakan.

“Daud berjanji akan meneliti surat berkenaan dan pada keesokan harinya, 9 Jun 2004, lebih kurang jam 12 tengah hari, Daud Tampokong telah menelefon Datuk Agus dan meminta Datuk Agus datang ke pejabatnya di Wisma Innoprise,” kata Edward kepada Hakim Elsie Primus.

Setelah mereka tiba di Pejabat Daud, kata Edward, Daud memberitahu Datuk Agus bahawa beliau tidak dapat mengeluarkan surat menggerakkan jentera ke kawasan konsesi pembalakan yang telah diluluskan kepada Peluamas Sdn.Bhd.

“Saya dengar Datuk Agus bertanya, apa alasan kenapa Daud tidak boleh mengeluarkan surat berkenaan? Kata Daud, dia mendapat arahan daripada ‘Big Boss’. Datuk Agus tanya, siapa itu ‘Big Boss’? Daud jawab, Musa Aman, Ketua Menteri Sabah,” kata Edward memberitahu mahkamah.

Kata Edward lagi, Datuk Agus bertanya bagaimana Daud tahu arahan tersebut daripada Ketua Menteri Sabah? Adakah Ketua Menteri memberi arahan terus kepada Daud?

“Daud kata tidak. Arahan tersebut datangnya daripada ‘Orang Tengah atau Konsultan’ yang bernama Michael Chia Thien Foh,” kata Edward lagi yang mendengar Daud meminta agar Datuk Agus berjumpa dengan Michael Chia.

Mendengar saranan Daud, kata Edward, Datuk Agus naik berang dan berkata kepada Daud, “Kalau Boss You suruh ‘makan tahi’, You makan?”

“Saya lihat Daud hanya berdiam diri tetapi mendesak agar Datuk Agus berjumpa Michael Chia. Datuk Agus bertanya nombor telefon Michael Chia. Daud bertanya pembantu sulitnya bernama Margaret yang kemudiannya memberikan nombor telefon Michael Chia kepada Datuk Agus,” ujar Edward lagi.

Ketika menjawab satu soalan, sama ada Datuk Agus ada menelefon Michael Chia, Edward menyatakan bahawa Datuk Agus ada menghubungi Michael Chia sebagai mana saranan Daud kerana Michael Chia adalah orang tengah atau Juru perunding yang diiktiraf Yayasan Sabah untuk mendapatkan surat mobilisasi jentera ke kawasan konsesi.

Kata Edward, Michael Chia menetapkan tiga syarat tambahan yang tidak termasuk dalam perjanjian konsesi jika Datuk Agus berkehendak surat berkenaan iaitu;

1.Sejumlah 100,000 meter padu balak yang dibeli daripada Rakyat Berjaya Sdn.Bhd harus diserahkan kepada UMNO;

2.Sumbangan politik sejumlah RM3 juta wajib dibayar kepada UMNO;

3.Sejumlah RM25 bagi setiap kaki padu wajib dibayar kepada UMNO bagi semua kayu balak yang dikeluarkan Peluamas daripada syarikat konsesi.

Michael Chia dan rakannya, Lo Man Heng telah dituduh di bawah Seksyen 420, Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksesaan yang boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan juga denda jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, bahawa kamu, dengan niat, pada Jun 2004 bertempat di daerah Sandakan, Sabah, telah menipu seorang, Chong Siak Nyen daripada Syarikat Peluamas Sdn.Bhd dengan meyakinkan beliau mempercayai bahawa tiga perkara perlu disediakan sebelum mendapat surat kelulusan berhubung operasi pembalakan di Coupe BW12/02: Mengeluarkan dan Membeli Balak Komersil daripada Hutan Simpan Kabalakan, Sabah, iaitu;

1) Menyerahkan kembali pembelian 100,000 meter padu balak yang telah dimaterai pada 25 Mei 2004 kepada Rakyat Berjaya Sdn.Bhd/Innoprise Corporation Sdn.Bhd, syarikat subsidiari Yayasan Sabah sebagai 'write off';

2) Membayar RM3 Juta untuk Tabung Politik UMNO Sabah, dan;

3) Membayar komisyen RM25 bagi satu meter padu sebagai caj asas bagi semua balak yang dikeluarkan oleh Syarikat Peluamas Sdn.Bhd daripada Hutan Simpan Gunung Rara (Benta Wawasan).

DAN bahawasanya kamu secara tidak jujur telah menipu Chong Siak Nyen dengan menyerahkan Surat Kuasa bertarikh 22 Jun 2004 yang telah diberikan untuk membeli 100,000 meter padu balak kepada syarikat yang dimiliki UMNO Sabah, membayar RM1 juta kepada Tabung Politik UMNO Sabah dan komisyen RM2.2 juta kepada Lo Man Heng seperti berikut;

01) 22 September 2004 RM100,000

02) 10 Disember 2004 RM 20,000

03) 10 Disember 2004 RM 10,000

04) 14 Disember 2004 RM 400,000

05) 11 Mac 2005 RM 100,000

06) 16 Mac 2005 RM 80,000

07) 22 Mac 2005 RM 100,000

08) 23 Mac 2005 RM 100,000

09) 18 April 2005 RM 40,000

10) 13 Mei 2005 RM 80,000

11) 14 Mei 2005 RM 60,000

12) 01 Julai 2005 RM 20,000

13) 13 Julai 2005 RM 50,000

14) 21 Julai 2005 RM 150,000

15) 29 Julai 2005 RM 100,000

16) 09 Ogos 2005 RM 150,000

17) 15 September 2005 RM 450,000

18) 15 November 2005 RM 150,000

19) 16 November 2005 RM 25,000

20) 24 November 2005 RM 15,000

Mungkinkah ‘Big Boss’ (Ketua Menteri Sabah) akan disapena untuk memberi keterangan berhubung dakwaan Daud dan Michael Chia ketika perbicaraan kes ini yang akan disambung pada 13 hingga 14 Januari 2011 kelak?.

No comments:

Post a Comment