Wednesday 15 December 2010

KERAJAAN BN TERUS ZALIMI RUNGUS?


SAYU….Wajah pemilik tanah, Ukung Moringgan yang kelihatan sayu kerana mengenangkan nasibnya yang bakal kehilangan tanah. Penulis duduk di sebelahnya turut bersimpati.

Oleh: JAHUDI MASILUN

SIRI rampasan tanah adat oleh kerajaan negeri Sabah melalui agensinya seperti LIGS, LKTNS, Safoda, Felcra, Felda atau syarikat proksi mereka terus berlaku.

Sebelum ini, kita telah mendengar cerita rampasan tanah ini di seluruh negeri bermula dari Semporna, Kunak, Tawau, Lahad Datu, Sandakan,Beluran, Paitan, Pitas, Kota Marudu dan kini di Kudat.

Kali ini, mereka menggunakan topeng pembangunan untuk merampas tanah-tanah ini

dengan rakusnya hingga mengenepikan hak penduduk setempat yang telah sekian lama mendiami kawasan ini. Mereka telah tinggal, beranak pinak, bercucuk tanam dan mula menuai hasilnya, tetapi kelulusan PT mereka telah dibatalkan oleh Jabatan Tanah untuk menghalalkan cara mereka merompak tanah ini.

Rakyat yang bodoh sekalipun tahu erti pembangunan dan kemajuan tetapi mereka juga tahu hak mereka ke atas tanah itu akan hilang selama-lamanya jika mereka bersetuju dengan projek pembangunan itu.



GETAH…Tanaman getah yang diusahakan penduduk sudahpun mengeluarkan hasil, namun ia akan dimusnahkan kerana termasuk kawasan LIGS.

Pada mereka, biarlah tanah itu lambat diusahakan atau dibangunkan tetapi mereka tidak rela mereka kehilangan tanah itu. Penduduk percaya mereka membangunkan tanah itu dengan kudrat mereka sendiri kerana anak-anak mereka telah ramai yang bijak pandai termasuk dalam bidang dan ilmu pertanian.

Mereka bertekad untuk mempertahankan tanah tersebut walau apa cara sekalipun, walau dengan titisan darah kerana mereka menyedari selepas ini, tanah itu tidak akan kembali kepada mereka walaupun dengan tangisan darah sekalipun.

Mengikut semakan, kes ini berlaku semasa Jornah Mohizim menjadi Wakil Rakyat. Ini dapat di lihat pada surat beliau (15 Februari 2006) kepada Setiausaha Tetap KPLB antara lain menyatakan beliau telah bermesyuarat dengan Kg. Minikodong, Kg. Komburongo dan Kg. Indarason Darat.

Menurut surat tersebut Kg. Minikodong dan Kg. Komburongoh BERSETUJU manakala Kg. Indarason MENOLAK. Walaupun menolak, surat Jornah kepada KPLB tidak ada menyatakan bahawa kawasan terlibat di Kg Indarason dikeluarkan dari kawasan estet. Apakah ini bermaksud beliau tidak mahu mendengar bantahan rakyat dan tidak memahami mengapa Kg. Indarason menolak?


BODOH....Rumah PPRT yang dibian oleh kerajaan akan dirobohkan oleh kerajaan juga kerana trmasuk dalam kawsan projek, bukankah tindakan ini bodoh namanya?

Surat JKKK kepada Jabatan Tanah, melalui Jornah bertarikh 15 Februari 2010 supaya kawasan tanah kelompok Kg Indarasaon Darat (yang sepatutnya dikeluarkan dari Minikodong Estate) untuk penyukatan supaya penduduk boleh mula meneroka dan mengusahakan kawasan tersebut.

Seluruh kawasan yang dipohon telah dipohon (LA) sejak tahun 2003 lagi. Tiga tahun sebelum Minikodong Estate ini timbul telah tidak dilayan oleh Jabatan Tanah.

Surat Jornah kepada Juruukur Daerah bertarikh 13 October 2006, antara kandungannya ialah memaklumkan Awang Fauzi Hj. Awang Tahir supaya kawasan Kg. Indarason Darat dikeluarkan dari Minikodong Mini Estate (MESEJ).

Apa pun sehingga kini tidak ada tindakan susulan kepada surat itu dan MESEJ ini masih diteruskan tanpa menghiraukan penduduk kampung. Kita mahu tahu mengapa Juruukur Daerah, Awang Fauzi Hj. Tahir tidak menjalankan seperti yang diminta dan diarahkan oleh Jornah?

Apakah ada sesuatu yang tidak kena yang membolehkan surat itu tidak diendahkan oleh juruukur daerah, siapa yang bagi arahan supaya beliau tidak melaksanakan seperti yang dikehendaki oleh Jornah dan penduduk kampung? Kita mahu SPRM memeriksa semua urusan ini kerana aduan rasmi akan dibuat kelak.

Surat kepada LIGS bertarikh 25 Mei 2006 dari JKKK untuk kelulusan kelompok, tidak mendapat layanan dan kerajaan berkeras untuk tidak menghiraukan permohonan dan bantahan penduduk Kg Indarason Darat.

‎Sebenarnya surat bantahan pertama telah dibuat dan dihantar kepada Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggung pada 10 Januari 2006. Mengapa ADO Matunggung begitu ‘KERAS KEPALA’ tidak menghiraukan bantahan penduduk kampung? Kita mahu tahu apa alasa beliau dan mengapa bertindak sedemikian.

‎Penduduk kampung juga telah bermesyuarat pada 2 Februari 2006 bersama Kg Komburongoh dan Kg minikodong. Minit mesyuarat itu ada dihantar kepada Jornah bersama-sama dengan surat bantahan bertarikh 02 Februari 2006.

Melalui minit mesyuarat itu Kg Komburongoh dan Kg Indarason membantah dan Kg Minikodong menerima MESEJ. Sila rujuk kepada surat YB Jornah kepada Setiausaha Tetap KPLB pada item No. 1 di atas, ada perbezaan. kita mahu tahu mengapa tidak MESEJ ini dijalankan di Minikodong sahaja memandangkan hanya mereka yang menerima?


TIPU....Dakwaan kerajaan tanah milik penduduk dibiarkan kosong tidak benar sama sekali, apa yang kita lihat dalam gambar ialah pelbagai tanaman telah ditanam seperti kelapa sawit, betik dan pisang.

‎Pada 24 November 2006, sekali lagi surat bantahan dibuat kepada ADO kerana MESEJ masih diteruskan. Dalam surat itu penduduk kampung membantah sekeras-kerasnya. Kita mahu tahu mengapa ADO begitu keras kepala tidak menghiraukan bantahan penduduk kampung? Apakah alasan beliau?

‎Disebabkan kerajaan tidak mendengar bantahan itu, penduduk Kg. Indarason sekali lagi bermesyuarat pada 03 Januari 2007 dan dari mesyuarat itu sekali lagi seluruh penduduk kampung bersetuju sebulat suara untuk membantah MESEJ dari diteruskan di tanah adat (NCR) Kg. Indarason.

Selepas itu melalui surat bantahan bertarikh 25 januari 2007 (PJKKK/KINDN4/005) kepada Setiausaha Tetap KPLB. dilampirkan bersama ialah minit mesyuarat penduduk Kg Indarason. Surat bantahan itu juga seperti sampai kepada orang yang PEKAK, BUTA dan TIDAK BERPRIKEMANUSIAN.

Pada 13 Mac 2007, sekali lagi surat bantahan dan permohonan supaya kawasan Kg. Indarason dikeluarkan dari MESEJ kepada Pejabat tanah.

Surat arahan Jornah mengenai hal ini kepada pejabat tanah juga harus dirujuk. Kita mahu tahu mengapa Jabatan Tanah berdegil tidak memahami dan mempertimbangkan permohonan penduduk kampung.

Pada 13 Mac 2007 juga, surat yang serupa juga telah dihantar kepada ADO Matunggung. Hasrat penduduk kampung yang telah begitu lama mengundi Barisan Nasional terus diketepikan dan berdegil meneruskan projek yang hanya merugikan penduduk kampung pada jangka masa panjang.

Sehingga kini suara hati rakyat terus diabaikan. Apakah perlu kita terus mengundi Barisan Nasional dan membiarkan kita diperkudakan seperti ini? Projek yang dijalankan sepatutnya menyenangkan dan menguntungkan rakyat dan bukan yang akan merugikan rakyat kerana akan kehilangan MARUAH dan TANAH ADAT (NCR) selama-lamanya.

Satu surat telah diterima oleh Markus Singun dan Jamari Kintulok pemilik tanah Lot no. PT.no 2002050980 dan PT.No. 96050085-86 daripada Suhakam yang menyatakan, PPHT Kudat telah mengesahkan bahawa lot-lot tanah tersebut TIDAK termasuk dalam kawasan Minikodong Mini Estate.

Tetapi yang ironinya, surat yg dikeluarkan sendiri oleh PPHT Kudat dan disahkan oleh Suhakam tidak dipatuhi oleh PPHT Kudat sendiri. Apakah makna semua ini dan apakah apakah ada pihak ketiga yang membuat arahan sehingga PPHT Kudat mencabuli jaminan yg diberikan kepada pemilik tanah ini? Persoalannya, siapakah pihak ketiga itu, adakah ia jembelang, adakah dia hantu atau setan?

Kampung ini telah dipertahankan sekian lama oleh moyang kita dengan air mata dan darah. Mengapa kini kita membiarkannya terlepas begitu sahaja. Penduduk kampung akan bertambah, sudah tentu mereka memerlukan kawasan untuk mendirikan rumah sendiri. Apakah kita mahu mereka merempat dan menjadi pelarian ditanah sendiri kerana tidak ada kawasan untuk mendirikan rumah pada masa akan datang?

Kita tidak mahu kesenangan sekarang akan menjadi tangisan anak cucu kita pada masa akan datang. Jika ini boleh berlaku di Kg Indarasaon, apakah jaminan yang perkara serupa tidak berlaku di kampung anda?

Oleh itu kita di N4 matunggung tanpa mengira latar belakang parti politik berganding bahu membantah projek ini. Jika anda boleh membantu warga Kg. Indarason membantah perkara ini, jika perkara yang sama berlaku ditempat anda, kita akan bersama berganding bahu membantahnya lagi.

Inilah impian yang setiap insan yang berjiwa rungus harus ada. Apakah menyediakan kawasan tempat tinggal untuk generasi Rungus yang akan datang bukan impian bersama kita? Sudah tentu itu lah salah satu impian bersama yang harus kita ada.

1 comment:

  1. bagus artikel ini.kita baca sama2, kita fikir sama2, dan kita bertindak sama2. Bumiputera kalau tiada kerja masih boleh hidup, sebab ada tanah. tetapi kalau tanah sudah dirampas; miskin akan bertambah miskin, sakit bertambah sakit, buta huruf bertambah juga, akhirnya meninggal dan diwarisi keadaan tersebut.

    ReplyDelete