Friday 24 December 2010

KES SEBANGKAT SELESAI, JASA SIAPA DIKENANG?



Oleh: MUTALIB M.D

KES penculikan dua rakyat Malaysia daripada Terumbu Karang, Sebangkat, Semporna pada 8 Februari 2010 yang memeningkan pihak berkuasa keselamatan dua negara akhirnya diselesaikan dengan baik setelah mangsa dibebaskan tanpa sebarang kecederaan atau pertumpahan darah.

Kerja keras Menteri Luar Malaysia, Datuk Anifah Aman dan ‘Team Mission Impossible’ telah membuahkan hasil walaupun agak terlewat daripada jadual kerana campurtangan banyak pihak yang cuba menggagalkan rundingan pembebasan tebusan berkenaan, Tsen Vui Chung dan Lai Wing Chau.

Pemindahan tebusan dan penyamaran yang dilakukan menyebabkan pihak berkuasa dua negara dan juruperunding sukar menjalankan rundingan kerana terlalu ramai pihak berminat untuk mendapatkan tebusan berkenaan; terutama Amerika Syarikat kerana mempercayai penjenayah yang paling dikehendaki, Zulkifli Abd Hir bergerak bersama kumpulan penculik yang diketuai oleh Ben Ahmad Taraji, seorang rakyat Filipina yang mendapat kerakyatan songsang Malaysia.

Namun berkat kerjasama dan kecekapan ‘Team Mission Impossible’ yang dilantik oleh Wisma Putra dan Jabatan Perdana Menteri telah mencapai titik akhir dengan pembebasan dua mangsa culik berkenaan; hasil pemantauan berterusan Gabenor Tawi-Tawi, Hadji Sadikul Adalla Sahali.

Sadikul yang bertungkus lumus dan membiayai sebahagian besar kos operasi tanpa mengharapkan bantuan Kerajaan Malaysia telah berjaya mengesan pergerakan kumpulan penculik dan menganjurkan rundingan demi rundingan sehingga berjaya tanpa melibatkan ketenteraan kerana bimbang keselamatan dua tebusan berkenaan.

Keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah, atas arahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman telah menyalurkan logistik dan segala bantuan yang diperlukan melalui seorang penasihatnya telah berjaya merintis pembebasan, tanpa sebarang kecelakaan.

Kedua-dua mangsa dijangka pulang ke Kota Kinabalu lewat petang ini. Berdasarkan risikan Koresponden berterusan Sabahkini.net di Tawi-Tawi, carta di atas menunjukkan mereka yang terlibat secara langsung dalam program pembebasan yang mengambil masa selama hampir 10 bulan.

No comments:

Post a Comment