Thursday 16 December 2010

LETAK JAWATAN JIKA TAKUT DIKRITIK



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

KALAU takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Jika seseorang pemimpin merasa takut untuk dikritik di kedai-kedai kopi atau di mana juga, sebaiknya ia segera meletakan jawatan untuk memberikan laluan kepada orang lain yang lebih bersedia menerima teguran.

Sewajarnya golongan pemimpin tidak usah bimbang dikritik oleh rakyat sekiranya mereka benar-benar jujur berkhidmat untuk memperjuanggkan kepentingan rakyat.

"Apa yang ditakutkan kepada kritikan dan teguran jika pemimpin telah memberikan yang terbaik untuk membela rakyat. Apa yang menjadi persoalan apabila aspirasi rakyat tidak dipenuhi yang menyebabkan rakyat menjadikan pemimpin sebagai sasaran kritikan dan cemuhan di kedai-kedai kopi," kata Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tuaran, Marsah Muyong.

Marsah yang telah terlibat dalam perjuangan politik sejak era pemerintahan USNO lagi menyatakan,rakyat hari ini amat tahu menilai perkhidmatan seorang pemimpin yang benar-benar jujur membela rakyat atau sebaliknya mengambil kesempatan mempergunakan rakyat sebagai tunganggan mendapatkan kuasa dan kekayaan.

Menurutnya, majoriti rakyat hari ini celik komputer, celik mata dan celik perkembangan semasa; tidak seperti tahun-tahun 50-an dan 60-an ketika kemudahan seperti ini tidak ada lagi dan dengan wujudnya ‘media baru’ rakyat cepat mendapat maklumat serta tidak lagi mudah dikelirukan.

Marsah menyatakan rakyat mempunyai haknya sendiri, termasuklah membuat kritikan di kedai-kedai kopi serta di mana juga kerana telah menjadi asam garam dalam dunia politik perlakuan seperti itu kepada pemimpin. Maka tidak perlu golongan pemimpin yang telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat merasa bimbang mengenainya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tuaran, Jamaliah Antalip seperti yang tersiar dalam Akhbar Utusan Borneo baru-baru ini.

Marsah menambah jika pemimpin takut dikritik, mereka hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya dan tidak melepaskan sepenuhnya kepada kuncu-kuncu sekeliling yang akhirnya mengambil kesempatan dari kelemahan pemimpin seperti berlakunya tuntutan palsu dari kantraktor palsu di Kawasan Sulaman.

"Bukankah cerita Kontraktor Palsu itu menarik untuk dibahas oleh sesiapa juga di kedai-kedai kopi? Jika rakyat mengaitkan perlakuan itu dengan pemimpin saya fikir ianya adalah wajar.”

"Kritikan yang berasas akan cepat melekat dan menjadi topik hangat di kalangan rakyat.Kritikan tidak akan diluahkan rakyat jika pemimpin berada di landasan sebenar, tetapi kritikan demi kritikan dari rakyat sekiranya pemimpin jauh tersasar dari perjuangan sebenar," kata Marsah sambil meminta agar semua pihak merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengesa supaya pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) jangan dihinggapi oleh penyakit khayal, lupa diri, jumud dan angkuh.

No comments:

Post a Comment