Monday 13 December 2010

MASYARAKAT LUAR BANDAR AMAT BERTUAH



SERAH….Masiung sedang menyerahkan ank kunci perumahan PPRT kepada salah seorang pemilik.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

RAKYAT di kawasan luar Bandar, khususnya di kawasan Kuamut tidak akan terpinggir malahan terus terbela untuk menikmati pelbagai kemudahan asas daripada kerajaan Barisan Nasional yang menjadi peneraju kerajaan di negara ini, khususnya di negeri Sabah.

“Ini terbukti jelas kerana seramai 23 daripada 33 penduduk di daerah Tongod kawasan DUN Kuamut yang telah tersenarai dan dikategorikan ‘Miskin Tegar’, masing-masing telah mendapat rumah di bawah skim Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dikelolakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB),” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Masiung Banah.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan majlis Penyerahan Kunci PMS Mesej Lanung yang diadakan di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Tongod di sini petang tadi.

Kata Masiung selain mendapat rumah secara percuma daripada kementerian berkenaan, mereka juga diberi sebidang tanah seluas 7 ekar di samping peluang pekerjaan iaitu menanam getah di kawasan tanah tersebut.

“Mereka yang sudah tinggal di rumah itu telah diberi amaran dan syarat-syarat tertentu seperti yang telah termaktub di dalam surat akuan perjanjian menduduki rumah tersebut; antaranya tidak dibenarkan mengubahsuai rumah tersebut dalam tempoh 18 bulan dari tarikh mereka memasuki rumah berkenaan,” tegas Masiung lagi.

Sementara itu, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Ahmad Sayuti menjelaskan bahawa buat sementara ini semua rumah yang bakal diduduki oleh para pemilik itu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.

Kata Ahmad, projek pemasangan tiang dan pendawaian elektrik kini sedang berjalan dan dijangka siap sepenuhnya untuk di salurkan ke rumah-rumah berkenaan dalam masa terdekat ini.

Masyarakat di kawasan luar Bandar, kata Ahmad, seperti penduduk di daerah Tongod, amat bertuah kerana mendapat rumah daripada kerajaan dengan percuma, berbanding kehidupan masyarakat yang tinggal di bandar kerana setiap bulan perlu membayar sewa atau ansuran bulanan hutang rumah dengan Bank atau Kerajaan.

No comments:

Post a Comment