Tuesday 21 December 2010

MDT TIDAK LAKUKAN PEMBAZIRAN



KONTROVERSI….Wolfred menjelaskan isu ‘Walkway’ yang dipasang jubin sejauh 200 meter yang menjadi kontroversi di Tenom.

Oleh: MAIL MATHEW

PENGURUSAN Majlis Daerah Tenom (MDT) menafikan tanggapan pihak tertentu sebagai kurang tepat yang mendakwa kononnya wujud pembaziran perbelanjaan majlis itu kerana mensasarkan pelaksanaan kerja-kerja pembaikan mahupun kerja menaiktaraf yang bukan keutamaan untuk disegerakan.

Malahan apa yang diharapkan oleh majlis bahawa pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf prasarana kawasan pekan suatu usaha penambahbaikan bagi proses mengindah dan menceriahkan pekan dengan meletakkan lanskap di posisi yang betul.

Pegawai Eksekutif Majlis Daerah, Wolfred Maruf Gentiu, berkata demikian di pejabat beliau ketika memberitahu Sabahkini.net sebagai mengulas beberapa rungutan awam terhadap tugas dan tanggung jawab MDT dalam mengindahkan pekan yang didakwa kurang berkesan.

Tegasnya, MDT sepanjang tahun 2010 telahpun membelanjakan peruntukkan sejumlah kira-kira RM1 juta yang disalurkan daripada Jabatan Kerajaan Tempatan Persekutuan khusus untuk tujuan pengindahan pekan di sini agar dapat menarik seberapa ramai pelancong luar melawat ke sini.

“Kita juga sudah dijanjikan untuk mendapat peruntukan sebanyak lebih kurang RM200 ribu untuk menyusun dan menaiktaraf landskap tetapi disebabkan peruntukan yang dijanjikan itu sehingga sekarang belum disalurkan, maka kita terpaksa gunakan wang Majlis untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut yang telah pun dirancang lebih awal,” jelas Wolfred.

Dalam pada itu ketika menyentuh pemasangan jubin lorong kakilima sejauh 200 meter menuju ke Tenom Lama dan Pejabat Daerah yang menjadi kemelut isu ketika ini beliau menjelaskan;

“Pemasangan jubin di situ merupakan suatu pembaharuan yang kita lakukan untuk tujuan mencantikkan lagi lorong kaki lima itu selain menjadi satu keselesaan kepada pelalu lalang seperti yang dapat dilihat di beberapa tempat di Sabah termasuk di Sarawak. Lagipun, jalanraya tersebut adalah jalan protokol sebagai laluan utama oleh pelawat termasuk orang kenamaan,” tegas beliau lagi.

Wolfred yang kurang senang dengan masyarakat yang sering melemparkan pelbagai tuduhan melulu tanpa fakta yang sahih menegaskan bahawa setiap kali pelaksanaan terhadap kerja kerja yang melibatkan pembaikan ataupun kerja menaiktaraf ia tidak terkecuali daripada proses ‘tender’ secara terbuka sepertimana yang dikehendaki didalam Arahan Perbendaharaan.

“Kita tidak ada keistimewaan kuasa untuk membenarkan sesiapa melakukan secara jalan pintas atau pintu belakang, malahan prosedur kerajaan harus diikuti tanpa gagal,” tegas beliau yang mengharapkan agar maksudnya itu perlu difahami selain mengikis tanggapan negatif terhadap beliau dalam melaksanakan tugas dan tanggung jawabnya.

Kenyataan beliau tercetus ekoran terdapat beberapa individu dan orang awam mempertikaikan pelaksanaan tugasan beliau yang bertanggung jawab perihal keindahan pekan namun apa sahaja yang dilakukannya terdapat andaian negatif daripada orang awam yang mengekang kelancaran pencapaian misi dan visi majlis yang dipertanggung jawabkan kepada beliau.

No comments:

Post a Comment