Saturday 11 December 2010

MISI TUMPASKAN CALON UMNO PRU13?



Oleh: AMBROSE MAIL MATHEW

SEMANGAT patriotisme kepada tanah air sendiri sepertimana yang tersemai di sanubari mantan Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) kawasan DUN Kemabong, Saul Salleh, menyebabkan beliau tidak mengambil masa yang panjang berfikir untuk bertindak keluar meninggalkan UMNO yang disertainya selama lebih tiga penggal parti itu bertapak di DUN Kemabong tanpa sebarang sesalan.

Demi maruah bangsa dan masa depan rakyat negeri ini beliau tidak ragu ragu mengambil keputusan untuk menyertai SAPP sebuah parti tempatan walaupun tidak dijanjikan sebarang jawatan mahupun ganjaran oleh kepimpinan SAPP, tetapi beliau mengambilkira teras perjuangan SAPP menfokuskan kepada soal memertabatkan maruah bangsa dan rakyat Sabah.

“Setelah perjuangan PBS berakhir dengan tumpasnya mereka kepada Kerajaan BN melalui cara yang tidak demokratik pada 1994, memberi kesan negatif kepada penduduk pedalaman di sini sehinggalah sekarang. Namun gara-gara sikap keterlaluan pemimpin UMNO-BN yang memperbodohkan kami selama ini membuatkan kami sedar dan sedang bangkit untuk menumbangkan UMNO-BN di Kemabong pada PRU13 nanti,” jelas Saul yang juga salah seorang bekas pemimpin kanan PBS Kemabong.

Beliau berkata, perjuangan politik rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kesukuan etnik, agama dan kepercayaan perlu sampai ke suatu tahap kematangan yang lebih tinggi dengan mengambil keutamaan kepada memperjuang masalah masyarakat wilayah sendiri, khususnya rakyat di Sabah dengan menyertai SAPP sebuah parti tempatan.

Saul turut menjelaskan bahawa kecintaannya terhadap perjuangan PBS sejak awal penubuhan parti itu terus menjadi pudar apabila tindakan parti itu menyertai semula BN sehingga telah merenggangkan hubungan beliau dengan pemimpin PBS yang lain kerana mereka telah bersekongkol dengan UMNO-BN.

Beliau mengingatkan rakan-rakan seperjuangannya yang masih berada dalam UMNO agar bertindaklah daripada sekarang dengan keluar secara beramai-ramai (en-block) seperti yang mereka rancangkan sebelum ini.

Selagi mereka berada dalam UMNO, bermacam-macam janji ‘terang bulan’ termasuklah gula gula manis yang ditaburkan kepada mereka dengan harapan akan dapat mengekang mereka keluar meninggalkan parti itu.

“Harus diingat, bahawa wang bukan segala-galanya; kerana wang, maruah dan jati diri bangsa, negeri dan rakyat akan tercemar untuk selama-lamanya. Malah kampung kita juga akan tergadai,” tambah Saul ketika berucap di majlis induksi pemantapan parti SAPP untuk ahli-ahli baru di Hotel Perkasa, Tenom, baru-baru ini.

UMNO yang bukan lahir di bumi Sabah tetapi terpaksa berhijrah ke bumi ‘Sabah Di Bawah Bayu’ pada 1991 atas kerakusan dan ketamakan segelintir pemimpin politik yang sudah terkandas di dalam haluan perjuangan politik mereka, lalu membawa masuk UMNO ke Sabah, semata-mata dijadikan landasan untuk menumbangkan kerajaan Sabah yang diterajui PBS, pimpinan Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan (Tan Sri) pada ketika itu.

Malang sekali, kata Saul, apabila usaha UMNO-BN untuk menumbangkan kerajaan PBS secara demokratik melalui pilihanraya tahun 1994 gagal, mereka (UMNO) menggunakan taktik kotor yang tidak demokratik seperti yang diketahui sebelum ini menyebabkan kerajaan Pairin tumbang kerana kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri selepas beberapa Adun PBS melompat menyertai BN menjadikan keadaan porak poranda.

Mungkin juga beberapa ADUN yang melompat boleh merekacipta pelbagai alasan tertentu untuk melenyapkan perasaan marah dan kecewa rakyat yang mengundinya, namun kata Saul, rakyat yang tertipu dengan taktik kotor tersebut tidak akan dapat melupakan insiden memalukan tersebut untuk selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment