Monday 20 December 2010

PEMIMPIN SABAH WAJIB CONTOHI BUMBURING



Saudara Pengarang,

PARA Pemimpin politik di Sabah wajib mencontohi keberanian Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran), Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing yang begitu bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib dan masa hadapan kedaulatan rakyat Sabah yang gagal dibela oleh Kerajaan Barisan Nasional dengan menghantar ‘Memorandum Pembatalan IC Projek (Sabah) Yang Diberikan Kepada PATI Melalui Skandal X-Files’ kepada Menteri Dalam Negeri.

Walaupun memorandum ini hanya menumpukan soal ‘Kerakyatan Songsang’ namun isu ini merupakan ‘IBU’ dan ‘BAPA’ kepada sejuta masalah di Sabah yang gagal ditangani dengan baik oleh Kerajaan Persekutuan yang menjanjikan keselamatan dan kedaulatan berterusan untuk Sabah dan rakyatnya.

Agak malang kerana memorandum sulit ini tidak dapat diwariskan kepada rakyat Sabah, namun agak terubat apabila Sabahkini.net berjaya mengadakan wawancara dengan Bumburing selepas beliau menyerahkan memorandum penting tersebut; sekurang-kurangnya dapat menghidupkan kembali perjuangan rakyat Sabah yang telah ‘koma’ setelah PBS merujuk kembali kepada BN.

Sebelum ini ramai pemimpin Sabah yang bercakap tentang isu PATI di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, namun timbul tenggelam ketika pilihanraya; bak kata orang kampung, hanya menjual air liur dan tidak mempunyai ‘tontolu’ (dengan maaf) seperti Bumburing yang menghantar memorandum, lengkap dengan bukti.

Saya agak terkilan kerana pemimpin yang saya kagumi, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang ditabalkan sebagai ‘Huguan Siou’ telah gagal menyuarakan kepentingan rakyat Sabah terutama ‘Skandal X-Files’ yang ditimbulkan Bumburing dalam memorandumnya; seperti wawancara yang dapat diikuti di Sabahkini.net.

Sebagai ‘Paramount Leader’ Pairin umpama ‘Keldai’ yang kebingungan kerana garam yang dibawa di belakangnya telah larut ke dalam air ketika menyeberang Sungai Kogibangan dan Sungai Kawananan untuk ke Nunuk Ragang.

Hilangnya ‘Karisma’ (Garam) Pairin yang kini berperang dengan penyakit yang dideritainya, namun masih ego enggan melepaskan jawatan ‘Huguan Siou’ bagi membolehkan rakyat Sabah melantik pemimpin Sabah yang berani berkata ‘TIDAK’ kepada Perdana Menteri dan Kerajaan BN iaitu Tan Sri Bernad Giluk Dompok sebagai Huguan Siou yang baru; menyebabkan nasib Kadazandusun ibarat nasib Kinoingan serta isterinya Suminundu yang terpaksa mengorbankan anak kesayangannya, Huminodun demi survival kaumnya.

Semangat Huminodon yang menjalar dalam seluruh arteri kaum Kadazandusun semakin lemah kerana kehilangan kuasa politik akibat dasar pecah dan perintah BN sehingga PBS, PBRS, UPKO dan sebagainya sudah menjadi ‘Sate’ di atas bara politik Sabah kerana tidak mungkin untuk kembali berkuasa tanpa bantuan kaum lain seperti yang pernah dinikmati antara 1985 hingga 1994.

Sehubungan itu, dengan perlantikan Mantan Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran), Datuk Wilfred Madius Tangau sebagai Pengerusi Malaysian Timber Industry Board (MTIB), hasil perjuangan Tan Sri Bernard Dompok; akan lebih ramai lagi ‘Anak Sabah’ akan dilantik memegang jawatan lantikan politik atau pertadbiran di Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan di Malaysia.

Salam Hormat,

JUSTIN KLAMBATIK

Anak Jati Tambunan

No comments:

Post a Comment