Saturday 18 December 2010

PENCURI BERMAHARAJA LELA, POLIS BUAT APA?

Saudara Pengarang,

SUDAH banyak kali buah kelapa sawit saya di Kampung Segangan Ulu, 24 kilometer daripada Lahad Datu, dicuri orang dan telah dua kali laporan polis yang saya buat dan hanya sekali polis berjaya menangkap pencuri berkenaan tetapi dilepaskan tanpa sebarang pertuduhan.

Kelmarin dulu, sekali lagi buah kelapa sawit saya dicuri orang yang samadan rakan-rakannya di hadapan mata saya dan mereka bertempiaran lari ketika saya tiba, namun polis meminta saya membuat laporan baru sedangkan laporan lama belum selesai.

Mungkin kerana harga buah kelapa sawit terlalu mahal sehingga tidak menyangka manusia yang sebelum ini baik tiba-tiba menjadi pencuri dan pegawai penyiasat hanya tersenyum setiap kali saya membuat laporan dan mempunyai banyak masa untuk bercuti bersama keluarga.

Hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan di luar bandar hanya menjadi sia-sia sekiranya pencuri bebas melakukan jenayah dan polis memberi pelbagai dalih untuk tidak menjalankan tugas mereka.

Dengan tanah 15 ekar itulah saya menyara keluarga dan ibu tua yang uzur, tetapi jika semua buah kelapa sawit saya dicuri dan pokok dirosakkan; apa lagi yang dapat saya lakukan untuk menyara keluarga saya?

Sehubungan itu, saya berharap agar Ketua Polis Daerah Lahad Datu bekerja keras untuk membasmi jenayah dengan memberi tumpuan kepada kes kecurian kelapa sawit kerana melibatkan ramai mangsa dan jangan menjadikan alasan kakitangan bawahannya bahawa ‘buah sawit tidak ada trademark atau nama saya’ sebagai alasan untuk melepaskan pencuri yang telah ditangkap.

Mungkin tiba masanya pekebun kecil seperti saya menembak mati pencuri kerana jika diserahkan kepada polis akan dilepaskan juga akhirnya.

Namun saya masih percaya kepada undang-undang dan Hukum karma tetap berjalan dan saya harap agar polis yang tidak amanah dan pencuri durjana kembali ke pangkal jalan sebelum dihukum Tuhan di dunia ini kerana ingatlah bahawa doa orang yang teraniaya akan sampai ke sidratul muntaha dan dimakbulkan Allah.

Selamat Bertaubat,

PETANI KECEWA.

No comments:

Post a Comment