Wednesday 1 December 2010

PERHEBATKAN USAHA MEMBASMI MISKIN TEGAR




MISKIN…. Awang (bertopi) bersama anak-anak keluarga miskin tegar semasa lawatannya ke salah sebuah kampung terpencil

Oleh: SHAIMON S JUMADI

KETUA Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) merangkap Pegawai Perhubungan ADUN Kuamut, Awang Gariman mempertikaikan mengenai penyenaraian pembahagian bantuan khas kepada keluarga miskin khususnya di mukim Tongod yang dianggap tidak telus dan pilih kasih.

Awang berkata, ramai keluarga yang memang betul-betul miskin dan sewajarnya layak menerima bantuan yang telah memohon program PPRT Tongod daripada pihak kerajaan tetapi nama-nama mereka telah tersingkir daripada senarai tersebut.

“Di sini saya ingin mendedahkan tindakan tidak berperi kemanusiaan pegawai agensi yang terlibat mendaftarkan nama-nama mereka yang berstatus miskin tegar, kerana mangsa tidak berpeluang mendapat agehan bantuan tersebut; sebaliknya orang yang berkemampuan pula yang disenaraikan,” ujar Awang lagi.

Tegas Awang, sebelum pihak pembangkang menggembar-gemburkan isu ini, biarlah beliau menegur sikap tidak professional kementerian terbabit yang menggelapkan masa hadapan penduduk miskin tegar dan mencemarkan imej kerajaan di mata Bank Dunia.

Awang mendedahkan hal ini kepada Sabahkini.Net sejurus selepas lawatan kerjanya selama empat hari ke seluruh Mukim Kuamut dengan tujuan untuk mencari dan mengenal pasti lebih dekat lagi penduduk-penduduk miskin tegar yang masih terpinggir agar mendapat bantuan melalui progam PPRT.


DAIF…Seorang bapa bersama anak-anaknya di hadapan pondok yang dalam keadaan amat daif.

“Ekoran tindakan pilih kasih kementerian berkenaan, ramai di kalangan penduduk di Mukim Kuamut terus dilanda keperitan hidup. Yang amat menghayat hati saya, banyak rumah mereka masih lagi beratap rumbia sedangkan setiap tahun puluhan ribu zing diagehkan melalui projek kecil,” jelas Awang lagi.

Memandangakan sudah 47 tahun Sabah merdeka menerusi Gagasan Malaysia tetapi rakyat di kawasan luar bandar seperti di Mukim Kuamut, kata Awang, masih beratapkan rumbia, minum air perigi dan terpaksa menggunakan lampu minyak tanah kerana tiada kemudahan asas.

“Kalau hal ini diketahui oleh pihak parti pembangkang sudah tentu hal ini menjadi isu besar dan di situlah peluang mereka (PKR) memaki hamun pemimpin Barisan Nasional,” ujar Awang dalam nada kesal kerana kecacatan pelaksanaan projek kemasyarakatan, terutama yang dikendalikan Pejabat Daerah dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Tegas Awang, bancian dan gerak kerja mendaftar miskin tegar mesti dilakukan segera dan haruslah ditemani oleh pemimpin tempatan agar tidak ada lagi keciciran dan kebocoran peruntukan kepada mereka yang tidak layak.

No comments:

Post a Comment