Thursday 2 December 2010

PKR KUNAK YAKIN MENYENGAT PRU 13



TEMUBUAL….Mohammad Sailama (kiri) ketika ditemubual penulis pada rabu.

Oleh: IBRAHIM TABIR

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Kunak yakin untuk mendapatkan sokongan pengundi khususnya di kawasan DUN Kunak dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang. Timbalan II Ketua Cabang PKR Silam, Mohammad bin Sailama berkata, parti itu mampu untuk mendapat lebih banyak undi berbanding dua pilihanraya yang pernah ditandinginya di kawasan Kunak sebelum ini.

"Saya yakin PKR boleh beri saingan kepada BN atau mana-mana calon lain yang akan bertanding (dalam PRU 13)", katanya dalam satu temubual bersama wartawan di sini.

Menurutnya, masih banyak keperluan rakyat perlu diberi keutamaan di daerah ini terutama dalam usaha membela nasib penduduk miskin yang benar-benar memerlukan bantuan seperti kemudahan PPRT.

Mohammad berkata, terdapat masyarakat atau mereka yang benar-benar memerlukan bantuan rumah PPRT tidak memperoleh kemudahan itu sebaliknya, mereka yang tidak layak diberi bantuan sedemikian.

Selain itu, masalah atau isu permohonan tanah (PT) juga masih berlarutan meskipun kerajaan sebelum ini telah mencadangkan atau membuat sebarang kaedah untuk memperbaik sistem itu.

"Saya dapat melihat di kawasan tertentu rumah-rumah PPRT didirikan, bukan untuk mereka yang sepatutnya layak menerima bantuan itu. Masalah permohonan tanah (PT) masih berlarutan sehingga rakyat ada yang mempersoalkan mengenai pengeluaran geran yang sering dipertikai kerana karenah birokrasi ", kata beliau.

Mohammad menyatakan, masih berlaku kelemahan terutama dalam urusan mendapatkan atau memperbaharui Lesen perniagaan di sini.

"Ada suatu ketika saya dapat aduan dari orang awam yang terpaksa menunggu berbulan-bulan lamanya untuk memperbaharui lesen perniagaan mereka ketika berurusan di jabatan kerajaan atau agensi tertentu di sini", ujarnya.

Dalam perkembangan sama katanya, PKR bersedia untuk memberi perkhidmatan yang adil dan sempurna kepada masyarakat jika diberi mandat mentadbir kawasan DUN selepas PRU 13 akan datang.

"Kami ada pendekatan dan kaedah untuk membantu rakyat yang masih memerlukan bantuan," katanya.

Menurut beliau, setakat ini PKR telahpun mengenalpasti beberapa orang individu yang boleh diketengahkan untuk dipilih sebagai calon PKR Kunak dalam pilihanraya ke 13.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk dicalonkan oleh parti sekiranya pihak pucuk pimpinan memilihnya, Mohammad spontan menjawab:

"Saya belum bersedia tetapi jika pucuk pimpinan dan ahli-ahli memberi sokongan, saya akan cuba", ujarnya sambil menambah, masih ramai yang layak dan berketrampilan dalam PKR untuk dicalonkan, terutama tokoh tempatan.

No comments:

Post a Comment