Wednesday 8 December 2010

PRU 13, JANGAN PILIH PEMIMPIN BERPENYAKIT



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PERINGATAN TEGAS Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta kepimpinan di semua peringkat Barisan Nasional (BN) supaya mengikis gejala penyakit khayal, lupa diri, jumud dan angkuh mendapat sokongan penuh daripada Mantan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih yang berpendapat seruan jelas yang bukan berselindung itu sebagai usaha kearah menambat hati segenap lapisan rakyat.

Ghulabdin yang juga bekas Ketua Daerah Mengundi UMNO dan BN bagi Batangan dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri Sulaman, Tuaran, mengakui terdapat sebilangan pemimpin BN yang bersikap demikian termasuklah di bahagian-bahagian UMNO yang seharusnya menerima baik ingatan Najib dengan mengikis dan membuang jauh empat gejala penyakit itu sebelum rasa sayang rakyat dan ahli UMNO terhadap BN berubah menjadi benci.

"Saya percaya sikap yang dibenci rakyat itu akan menanamkan bibit kemarahan yang boleh menghakis kepercayaan rakyat dan akhirnya sokongan mereka bertukar menjadi penentangan," kata Ghulabdin yang kini menjadi Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB).

Beliau juga percaya, semua gejala penyakit tersebut terutamanya keangkuhan serta ditambah lagi dengan kerakusan gila kuasa di kalangan anggota kepimpinan kerajaan akan hanya menyebabkan rakayat benci dan merasa menyampah terhadap BN pimpinan Najib.

Haji Ghulabdin menyambut baik ucapan Najib dalam amanat yang bertemakan ‘Mengukuh Barisan Mendahului Rakyat’ berkata penyakit khayalan kerana berasa khayal dan terawang-awang bahawa sokongan yang diterima daripada rakyat akan berterusan, manakala kelupaan kerana sudah terlupa akan sebab musabab atau tujuan perjuangan sebenar.

"Saya berkeyakinan dengan adanya ingatan tegas dari Najib, tidak akan ada lagi retorik setelah pemimpin negara ini mengariskan empat virus yang menyerang pemimpin-pemimpin BN akibat berlakunya kekuasaan terlampau lama. Penyakit suka berkhayal, enang lupa diri, jumud dan angkuh yang menyelubungi diri pemimpin-pemimpin BN membuatkan BN hampir tersungkur pada Pilihanraya Umum Ke 12 pada tahun 2008," kata Haji Ghulabdin yang bimbang sikap sedemikian telah hampir dan akan menjangkiti kepimpinan UMNO di Tuaran, khasnya di Kawasan Sulaman jika jika nasihat Najib tidak diikuti.

Haji Ghulabdin juga memberikan sokongan penuh terhadap mekanisme khusus memilih calon bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 yang semakin dekat dengan tidak bergantung lagi kepada pemilihan yang dibuat parti komponen BN atau presidennya.

"Yang dibawa Najib ketika sesi penggulungan pada Konvensyen BN 2010 di Wisma MCA Kuala Lumpur, baru-baru ini, bagi memastikan hanya calon boleh menang dan tidak bermasalah dipilih. Aspek pemilihan calon pada konvensyen kali ini menampakkan kesungguhan BN untuk memastikan kemanangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum akan datang, selain merampas negeri yang jatuh ke tangan pembangkang," kata Haji Ghulabdin.

Sumber berkata, ketegasan Perdana Menteri menunjukan kaedah pemilihan calon akan lebih ketat, sekali gus menutup ruang bagi pihak yang berhasrat untuk melobi dan beliau ada saluran tertentu untuk mendapatkan maklum balas berkaitan prestasi bakal calon dan rekod baik buruk setiap Wakil rakyat sedia ada.

Kata Haji Ghulabdin, ketegasan Najib untuk pemilihan calon BN dan Umno pada masa depan patut dihormati, sebagai mengelak kesilapan Pilihanraya Umum Mac 2008 berulang, dengan setiap calon yang dicadangkan ketika itu dibuat tanpa mengambil kira hasrat dan sentimen akar umbi.

"Saya selaku ahli UMNO yang inginkan BN mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya akan datang, berharap kepada Presiden BN agar membuat penilaian terperinci dengan hanya memilih calon yang benar-benar disukai rakyat, tidak lupa kawan seperjuangan, tidak retorik kepada rakyat, tidak mempunyai rekod salahguna kuasa, tidak sekandal dengan wanita simpanan dan sebagainya," kata Haji Ghulabdin yang pernah menjadi Pegawai Perhubungan Parlimen Tuaran (Datuk Monggoh Orow) pada tahun 1990 hingga 1995 dan Pegawai Perhubungan Parlimen pada tahun 2004 hingga 2008.

Beliau juga memberitahu satu jawatankuasa Suara ke 13 Umno Tuaran yang terdiri daripada kalangan AJK UMNO bahagian, bekas AJK Bahagian, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita dan Puteri, ahli biasa UMNO dan penyokong BN akan ditubuhkan pada penghujung bulan Disember ini bagi membantu kepimpinan negara mengenalpasti calon yang tidak tergolong dalam gejala 4 penyakit khayal, lupa diri, jumud dan angkuh dalam Pilihanraya Umum Ke 13 di Kawasan Dewan Undangan Negeri Sulaman yang kini diwakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Haji Noor.

No comments:

Post a Comment