Sunday 5 December 2010

SIASAT SEGERA POLIS RASUAH DI TAWAU



Saudara Pengarang,

TAHNIAH kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang memuji Polis Tenom kerana berjaya mengurangkan jenayah dan berbangga dengan kerjasama masyarakat Tenom; namun jangan lupa nasib kami di Tawau yang memperolehi ‘saki baki’ polis buangan daripada Johor dan rendah akhlak kerana melakukan rasuah dan melindungi kegiatan jenayah.

Pada mulanya saya sudah berputus asa dan agak gentar dengan pelbagai ancaman sejak saya menulis surat aduan kepada Ketua Polis Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana aduan saya mungkin menjadi ‘Warga Tong Sampah’; namun saya yakin Sabahkini.net akan menyiarkan surat terbuka saya ini demi kebaikan bersama.

Saya sedia bertanggung jawab dan menghadapi tindakan undang-undang tanpa melibatkan Sabahkini.net; terutama gejala balas dendam dan salahguna kuasa yang sentiasa akan mengintai saya selepas ini.

Berikut dua isu utama yang disuburkan Polis Tawau iaitu;

1)Melindungi Pekerja Asing Tanpa Izin:

Antara empat hingga lima syarikat sub-kontraktor yang menjalankan aktiviti pembinaan di kawasan perumahan Bandar Sri Indah (BSI), Batu 10, Jalan Apas, Tawau membayar wang perlindungan kepada Sarjan David Binandong, Korporal Awang Jem dan Konstabel Kumarabalan setiap bulan bermula daripada Ogos 2010. Pembayaran ini bertujuan untuk melindungi pekerja-pekerja asing tanpa sebarang dokumen dan permit kerja yang sah daripada ditangkap dan majikan mereka diambil tindakan di atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa izin.

Senarai nama pekerja tersebut dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pekerja yang memiliki dokumen dan yang langsung tidak ada sebarang dokumen. Senarai tersebut diserahkan sendiri oleh pengurus-pengurus syarikat terbabit kepada KPB Balai Polis BSI dan ada dalam simpanan beliau.

Kadar bayaran yang dikenakan ke atas setiap seorang pekerja yang tidak memiliki dokumen adalah RM10 bagi lelaki dan RM5 bagi wanita setiap seorang. Jumlah pekerja tanpa dokumen adalah ratusan orang bagi setiap sebuah syarikat. Transaksi berlaku pada masa yang sama pekerja-pekerja ini menerima gaji iaitu antara tarikh 2 hingga 5 setiap bulan.

Golongan pekerja asing ini penyumbang utama aktiviti jenayah seperti pecah rumah dan curi di sekitar kawasan perumahan Fasa 1, 2, 3 BSI. Mereka selalu kelihatan merayau-rayau di kawasan perumahan pada malam hari tanpa tujuan dan apabila di dekati untuk diperiksa, mereka melarikan diri ke arah rumah kongsi pekerja.

Banyak juga aduan yang orang awam buat berikutan kejadian curi dan karenah pekerja asing ini, tetapi di tepis oleh KPB BSI yang bijak memberi alasan dan menasihatkan pengadu agar tidak membuat laporan rasmi kerana urusan yang leceh untuk ambil kenyataan, naik turun mahkamah dan pelbagai alasan lagi sehingga orang awam tidak jadi membuat laporan.

2.) Melindungi Aktiviti Lori Hantu

Sebuah syarikat pengangkutan N.S Enterprise yang dimiliki oleh seorang lelaki Cina bernama Noel Salazar, menjalankan aktiviti pengangkutan buah dan minyak kelapa sawit pada setiap hari di sepanjang Jalan Apas, Tawau sehingga ke Jalan Tawau-Kunak-Lahad Datu membayar wang perlindungan setiap bulan kepada KPB Balai Polis Bandar Sri Indah (BSI) Sarjan David Binandong untuk memastikan lori-lori tersebut daripada ditahan dan diperiksa seterusnya diambil tindakan.

Bayaran tersebut adalah melalui Konsabel Kumarabalan dan Korporal Awang Jem. Lori-lori syarikat tersebut terdiri daripada tanker, lori 10 tan dan sebagainya yang mempunyai warna cat yang sama keseluruhannya. Lori-lori ini berjumlah lebih 40 buah dan dinamakan sebagai lori hantu kerana kebanyakkannya tidak mempunyai cukai jalan, Sijil Pemeriksaan PUSPAKOM dan pemandu tidak mempunyai lesen kerana sebilangan pemandu tersebut tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan palsu.

Lori-lori ini memang membawa muatan melebihi had, muatan berbahaya, muatan tidak kemas dan pelbagai kesalahan lalulintas lagi. Pemilik syarikat pengangkutan tersebut juga mempunyai ramai kawan pegawai-pegawai kanan IPD Tawau antaranya, KBPD IPD Tawau, ASP V.Thanggarajoo dan mempunyai pengaruh yang besar kerana jika ada anggota yang berani mengambil tindakan ke atas lori terbabit akan ditukarkan ke cawangan lain.

Perkara diatas telah dimajukan kepada KPD Tawau melalui surat rasmi tetapi tiada sebarang tindakan diambil. Mohon kerjasama agar anggota yang terlibat disiasat. Kepercayaan terhadap pegawai-pegawai kanan IPD Tawau adalah diragui seolah-olah aktiviti ini dilindungi.

Sekian, terima kasih

ROMEO

(NOTA: Penulis telah membuat akuan bertulis bahawa kenyataannya adalah benar dan bersedia menghadapi risiko undang-undang tanpa melibatkan Sabahkini.net.)

No comments:

Post a Comment