Wednesday 22 December 2010

SISTEM TAGAL (INAVOL) LAHIRKAN USAHAWAN IKAN



LEPAS….Raime melepaskan benih ikan di Sungai Tomani.

Oleh : HASSAN DALIMPOS

RAKYAT di daerah ini disaran agar menumpukan perhatian ke atas usaha untuk meningkatkan ekonomi keluarga dengan memajukan sistem tagal untuk melahirkan usahawan ikan yang berjaya di negeri ini.

Ini kerana Sabah adalah negeri yang terbanyak mengamalkan sistem tagal dan menjadi role model di negara ini apabila mencipta sistem tagal yang berjaya di beberapa tempat sehingga menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong.

Sistem tagal yang diperkenal Jabatan perikanan untuk menjamin riwayat flora dan fauna termasuk spesies ikan di negeri ini agar tidak pupus adalah langkah terbaik kerajaan dalam mengekalkan sumber alam semulajadi.

Justeru itu Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi berkata ketika merasmikan sistem tagal di sungai Tomani Kg.Kungkular pada Selasa, berharap agar rakyat menitik beratkan kepentingan keselamatan dan riwayat flora dan fauna tetap kekal dan tidak pupus.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab bersama kepada semua lapisan komuniti untujk menjaga lam sekitar dan sungai-sungai kerana terdapat banyak spesies ikan di sungai yang menjadi sumber protein makanan kepada badan manusia.

"Sistem Tagal harus dipatuhi undang-undangnya demi menjamin hasil yang lumayan dan mengekalkan hidupan dalam air agar generasi akan datang dapat menikmatinya,” kata Raime lagi.

Justeru itu, usahasama antara jabatan perikanan dan penduduk dalam memberi kesedaran kepada rakyat agar tidak sesuka hati menangkap ikan amat diharapkan untuk menjamin sistem ini ditelusuri.

Selain itu katanya, usahasama untuk membentuk projek melalui sumber sungai atau ikan boleh menjana pendapatan penduduk malah jika diambil perhatian secara serius dapat melahirkan usahawan yang berjaya di negeri ini.

Penduduk juga perlu mencintai alam sekitar dengan menjaga kebersihan dan mengelak pencemaran alam sekitar agar lebih berkualiti dan terjamin di masa akan datang, selain itu binalah tadahan air yan berkualiti untuk boleh dinikmati semua apabila air itu bersih, katanya.

Dalam pada itu Raime turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM40,000 untuk pembesaran Balai Budaya Kampung Kungkular yang turut mengembirakan penduduk yang kagum dengan usaha melalui wakil rakyat Barisan Nasional tersebut.

Selain itu juga masalah pemilikan tanah bergeran turut menjadi perhatian terutama di kampung-kampung yang mengalami masalah tanah seperti di Kg.Lohot dan kampung lain untuk diselesaikan dengan segera bagi memudahkan penduduk mengusahakannya dengan usaha pertanian, jelas beliau.

Penagalan Sungai Tomani kini hampir dilakukan di sepanjang sungai tersebut oleh kerana kesedaran penduduk tentang pentingnya menjaga alam sekitar, flora dan fauna untuk masa akan datang.

Majlis tersebut turut duhadiri oleh pegawai pengusaha perikanan daerah En.Martin Indai, Pengerusi Tagal, Racha Tikau dan Pengerusi Keselamatan Dan Kemajuan Kampung, Rubin Ongkor.

Pelbagai benih spesies ikan turut dilepaskan disungai oleh Raime dan Martin menurut undang-undang Sistem Tagal dan akan dituai sekurang-kurangnya masa matang pada 2 tahun kemudian.

Pada majlis tersebut Raime turut menandatangani papan tanda perasmian dengan disaksikan penduduk serta berkesempatan bersembang dengan rakyat melalui majlis makan bersama tengah hari di kampung tersebut.

Dalam pada itu seramai 250 orang datang dari Kg.Lohot dan Kungkular meriahkan majlis perasmian di balai budaya Kg.Kungkular memberi sambutan yang meriah dengan persembahan tarian kaum ibu, paluan gong kaum ibu dan penduduk berbaris untuk berjabat tangan dengan wakil rakyat yang bertandang datang melawat mereka.

No comments:

Post a Comment