Wednesday 15 December 2010

TELUPID PEKAN KOBOI 'HIGH CHAPARRAL'



TERBAKAR….Sederet bangunan kedai (Restoran Seri Dewi) yang musnah dalam satu kebakaran tidak dapat diselamatkan kerana ketiadaan bomba di pekan ini.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

KETIADAAN Bank dan PUSPAKOM yang kini telah menjadi isu dan rungutan di kalangan warga daerah Telupid kini pula timbul lagi isu baru iaitu ketiadaan Balai Bomba yang di tempatkan di kawasan pekan ini.

“Keselamatan penduduk harus diambil kira sekiranya berlakunya sesuatu kebakaran yang secara tiba-tiba menimpa kepada penduduk di sini, bak kata orang malang tidak berbau bagaimana hendak menyelamatkan harta benda serta nyawa mereka,” kata Ahli Majlis Daerah Beluran, James Miki,

Kata James, memandangkan Telupid semakin pesat membangun sehingga semakin bertambahnya bangunan dibina, namun tidak seiring dengan Dasar Urbanisasi Negara kerana tidak mempunyai Balai Bomba sebagai satu pakej Bandar Modern.

“Sudahlah begitu paip pili bomba pun tidak disediakan. Sepatutnya sementara belum ada stesen bomba di sini, di setiap sudut bangunan mesti disediakan pili bomba sebagai persediaan untuk mencegah kebakaran dan ianya boleh digunakan dengan menggunakan enjin pam air (Water Pump Engine) untuk menyedut air daripada pili tersebut,” jelas James kepada Wartawan Kanan Sabahkini ketika diminta pendapat dan pandangannya mengenai perlunya wujud Balai Bombo di kawasan pekan tersebut.

Menurut James, beliau malu apabila ada pelancong Amerika mengejek Pekan Telupid sebagai Pekan Koboi seperti dalam filem klasik 'High Chaparral'.

Natijah daripada ketiadaan Balai Bomba di Telupid, menyebabkan sederet restoran gagal diselamatkan dalam kebakaran baru-baru dan mendapat kecaman ramai kerana ketika kereta bomba daripada Sandakan sampai, semuanya sudah rentung menjadi abu.

“Saya menyuarakan hal ini bukanlah mahu mencari publisiti murahan tetapi adalah untuk kebaikan orang ramai khususnya warga pekan Telupid semata-mata, agar pihak kerajaan khususnya Ahli Parlimen Beluran dan Wakil Rakyat Labuk membuka mata mereka untuk mengambil satu inisiatif mencari jalan untuk mewujudkan balai bomba di tempat ini” ujarnya.

Tegas James, beliau berharap pihak Jabatan Bomba termasuk ADUN Labuk dan MP Beluran terbaca berita ini yang tersiar di portal sabahkini.net yang merupakan Wadah Rintihan Rakyat Sabah dengan misi suci ‘Membongkar Kebenaran Mempertahankan Kejujuran’ agar dapat mengambil ikhtibar mengenai masalah ini.

No comments:

Post a Comment