Tuesday 21 December 2010

TIBA MASANYA HISHAMUDDIN BERTINDAK?



Saudara Pengarang,

SAYA terkedu apabila membaca wawancara Ketua Editor Sabahkini.net Mutalib M.D dengan Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran) Datuk Wilfred Mojilip Bumburing yang begitu mendebarkan dada saya membacanya kerana ketika ini saya sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Connecticut, Amerika Syarikat.

Paling mengejutkan saya ialah pendedahan PATI di Pulau Jampiras, Sandakan yang menjadi ‘Killing Machine’ kerana salah seorang pelajar di universiti ini juga daripada Pulau Jampiras, Sandakan begitu mendewa-dewakan Kesultanan Sulu dan Perjuangan Bangsa Moro sedangkan beliau rakyat Malaysia.

Selama ini saya menyangka bahawa beliau hanya berjenaka apabila mengatakan di Jampiras adalah syurga bagi rakyat Filipina atau dinamakan ‘Little Philippines’ kerana bebas membawa senjata dan bebas keluar masuk ke ‘Sabah’ dan ‘Semenanjung Malaysia’ tanpa diperiksa kerana mereka ’Anak Emas’ dan ‘Fixed Deposit’ kepada Kerajaan BN.

Sebagai anak jati Sabah kerana semua tembuni saya dan nenek moyang saya ditanam di Kampung Sinongkalongan, Tambunan, saya tiba-tiba malu untuk mengaku sebagai rakyat Malaysia, namun masih berbangga menjadi rakyat Sabah sekalipun telah dicabul kedaulatannya oleh Kerajaan Malaysia demi survival politik Pemimpin Persekutuan.

Saya tidak menyalahkan ‘Anak Jampiras’ yang lahir daripada Warga Sulu berbangsa Moro yang kononnya ditempatkan untuk dilatih sebelum dihantar kembali untuk membebaskan negara mereka daripada kekangan Filipina; apatah lagi mereka menggunakan senjata AK47 dan senjata canggih lain yang tidak pernah kita Nampak.

Tetapi saya kesal kenapa Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah membantah ‘tanah air’ kita dijadikan tempat melatih ‘pengganas’ dan ramai di antara mereka mempunyai rangkaian dengan Abu Sabaya yang dilaporkan mati tetapi hidup secara bebas di Libya?

Saya ada mendengar cerita ‘Anak Jampiras’ itu bahawa mereka hidup hasil daripada penjualan rokok haram daripada ‘bonded warehouse’ di Barter Trade Sandakan kerana mereka mendapat komisyen untuk membiayai perjuangan mereka? Benarkah cerita ini?

Tibalah masanya Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussien bertindak menyiasat dan menjalankan tugas sebagai ‘Bakal Perdana Menteri’ selepas Najib kerana menteri dalam negeri sebelum ini terkena sindrom ‘Bisu, Pekak Dan Buta’ kerana jika isu ini tidak ditangani segera, Waris PATI akan menjadi Perdana Menteri setelah mereka telah menjadi Adun di Sabah.

Salam Dari Connecticut,

ANAK SINONGKALONGAN

No comments:

Post a Comment