Wednesday 8 December 2010

TUNTUTAN PALSU JEJAS IMEJ KERAJAAN



KECEWA…Rosman (baju jalur merah) dan Man kesal kejadian tuntutan palsu.

Oleh: HAJI GHULABDIN ENJIH

PERBUATAN dan tindakan segelintir kontraktor di Kawasan Sulaman yang menuntut bayaran daripada Majlis Daerah Tuaran (MDT) bagi projek memperbaiki jambatan kaki yang tidak dilaksanakan, adalah satu perbuatan buruk yang boleh menjejaskan nama baik pemimpin dan imej kerajaan.

Perbuatan membuat tuntutan itu juga dianggap amat terkutuk yang dikenal pasti dilakukan sendiri oleh pemimpin tempatan yang bukan sahaja menipu Pengerusi Jawatankuaasa, Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lok Batik Tuaran, malahan ia menipu wang rakyat serta mendatangkan kerugian kepada kerajaan.

Seorang penduduk Kampung Lok Batik Tuaran, Rosman Haji Derin yang mengulas perbuatan kontraktor kemuka tuntutan palsu kepada kerajaan yang dapat dikesan oleh Umno Bahagian Tuaran menerusi Ahli Jawatankuasa bahagiannya di sini, Marsah Muyong baru-baru melahirkan perasaan tidak senang hati terhadap perlilaku biadab itu dan beliau berharap perbuatan itu terusakan dipantau pihak berwajib supaya perbuatan sedemikian dapat dibendung.

Seperti yang telah dimaklumi umum, di Tuaran, kontraktor terbabit mengemukakan tuntutan palsu menerusi surat JKKK/LB/02 kepada MDT pada 13 Oktober lalu mengunakan tandatangan Pengerusi JKKK Lok Batik Tuaran bagi memohon bayaran pembaikan Jambatan kaki RM15,000.

Rosman amat mengutuk penipuan yang dilakukan oleh kontraktor berkenaan dengan mengunakan nama Pengerusi JKKK Kampung Lok Batik Tuaran dengan memaksanya menandatangani surat menuntut bayaran pembaikan jambatan kaki di kampung itu bernilai RM15,000. kepada Majlis Daerah Tuaran (MDT).

“Setelah meragui tuntutan itu, seorang Pegawai MDT telah melakukan pemeriksaan ke atas projek itu dan mendapati tidak wujud pembinaan baru atau pembaikan ke atas kemudahan seperti yang dituntut kontraktor itu,” kata Rosman.

Katanya lagi, oleh kerana tiada kerja pembaikan dilakukan seperti didakwa, maka pegawai MDT menerus surat jawaban bertarikh 18 Oktober kepada kontraktor mengarah agar menyelesaikan tanggungjawab berkaitan sebelum mengemukakan semula tuntutan pembayaran.

"Bagi pihak penduduk Kampung Lok Batik Tuaran, kami mengucapkan terima kasih di atas kebijaksanaan seorang Pegawai MDT kerana melakukan pemeriksaan ke atas projek dinyatakan sebelum menjelaskan pembayaran yang sekali gus menyelamatkan pihak JKKK, Rakyat dan Kerajaan daripada menjadi mangsa penipuan Kontraktor palsu”.

Rosman yang juga mantan AJK Pergerakan Pemuda UMNO Tuaran berkata, beliau menyokong saranan Marsah agar perbuatan itu tidak boleh dibiarkan berterusan kerana tindakan sedemikian membabitkan pengunaan wang rakyat dan kemudahan seperti jambatan kaki adalah kemudahan asas rakyat di kampung berkenaan.

Rosman yang juga Mantan Setiausaha Kerja Pergerakan Pemuda Umno Tuaran, mengharapkan agar Menteri kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Haji Hajiji Haji Noor selaku menteri bertanggungjawab terhadap MDT dan JKKK di Sulaman yang juga selaku Ahli Dewan Undangan Negeri di Kawasan terlibat agar mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang dikenal pasti mendalangi penipuan ini, di mana mereka adalah terdiri daripada orang UMNO di kawasan yang Hajiji sendiri ketuai.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tambalang Laut, Man Abdullah yang turut mengutuk perbuatan terkutuk itu dengan mengharapkan pemimpin di Kawasan itu agar menentukan semua projek yang diberikan kepada JKKK pada masa hadapan tidak terus diserahkan kepada kontraktor.

"Pengalaman yang dihadapi oleh Pengerusi JKKK kampung Lok Batik, Tuaran, mestilah menjadi panduan kepada mana-mana pihak yang berwajib agar perbuatan seperti iitu tidak akan menular kepada pengerusi JKKK di tempat lain untuk menerima pemalsuan tanda tangan seperti itu," kata Man yang hairan kenapa SPRM belum bertindak.

No comments:

Post a Comment