Saturday 18 December 2010

UMNO SABAH PERLU PECAT HAJIJI?


Saudara Pengarang,

SAYA terpanggil untuk merujuk tulisan Ramli Mohd Zain dalam Sabahkini.Net yang bertajuk ‘Skandal Peluamas, Umno Sabah Lesapkan RM3 Juta’ yang meminta pemimpin UMNO Sabah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Sabah (SPRM) jika tidak bersekongkol menyembunyikan penipuan dan rasuah yang dilakukan oleh ‘Orang Tengah’ atau ‘Juruperunding Yayasan Sabah’ Michael Chia Thien Foh sehingga rasanya mencemarkan nama baik UMNO di Sabah.

Berdasarkan kepada tulisan Ramli itu, saya Selaku Ahli UMNO Sabah amat terkilan dengan sikap membuta tuli pimpinan UMNO Sabah yang tidak berani menyangkal atau memberikan sebarang ulasan terutama sekali daripada Datuk Hajiji Haji Noor selaku Bendahari Perhubungan UMNO Negeri yang bertanggungjawab terhadap kedudukan kewangan UMNO Sabah.

Kita tidak mahu pemimpin UMNO dianggap bacul kerana sehingga kini Hajiji yang diharapkan oleh Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Musa Haji Aman gagal menjalankan amanahnya untuk membuat sebarang laporan Polis dan SPRM untuk menjernihkan tanggapan ‘rasuah’ yang terconteng dan terpalit di muka pimpinan UMNO Sabah.

Apakah sebenarnya Hajiji sebagai Bendahari UMNO Sabah tidak mampu memikul tanggungjawab tersebut? Kalau beliau tidak bermaruah sehingga rela membiarkan UMNO Sabah dimomok-momokan sebagai Parti yang Rasuah dan dikaitkan dengan Skandal Derma RM3 juta daripada Peluamas Sdn Bhd, saya mengharap dan meminta Musa, selaku Ketua Perhubungan UMNO Sabah mengantikan Hajiji segera dengan pemimpin lain yang lebih berani dan bertanggungjawab.

Sehubungan dengan ini saya berharap jika Hajiji merasakan selaku seorang pemimpin yang telah diamanahkan terhadap kewangan UMNO Sabah, beliau sepatutnya telah memberikan penjelasan kepada Ahli-ahli UMNO di negeri ini berkaitan kedudukan sebenar dakwaan wang RM3 juta dan benarkah wang itu telah diterima serta dimasukan dalam akaun UMNO Sabah?.

Saya merasakan dakwaan ini amat berat dan ia memerlukan UMNO Sabah membersihkan segera nama baik pimpinannya untuk mengekalkan sokongan rakyat terutama ketika menghadapi Pilihanraya ke 13 tidak lama lagi.

Sekian dan terima kasih

Yang benar,

AHLI SETIA UMNO MEDAN SELERA.

No comments:

Post a Comment