Tuesday 11 January 2011

ADA TANGAN GHAIB MAHU JATUHKAN PRESIDEN?




Oleh: MUTALIB M.D

MANTAN Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mendedahkan ada ‘Tangan Ghaib’ yang sedang berusaha keras untuk menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak setelah mereka berjaya menjatuhkan Pak Lah suatu ketika dahulu.

Sehubungan itu, beliau lebih suka menjadi calon bebas pada pilihanraya umum akan datang jika beliau tidak terpilih sebagai calon BN; demi untuk menjaga hubungan baik dengan semua pihak termasuk pembangkang.

Suhaili yang dihubungi di Brunei sebentar tadi berkata, buat sementara waktu beliau tidak ingin mengulas sama ada mahu menerima pelawaan daripada beberapa parti politik yang sejak akhir-akhir ini menawarkan beberapa jawatan penting kerana mereka yakin beliau masih berpengaruh di Labuan.

“Saya agak kesal kerana Majlis Tertinggi UMNO mengambil masa yang terlalu lama dan menghukum saya sedangkan mahkamah dan Pendaftar Pertubuhan membenarkan saya memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Labuan. Saya tidak tahu apa lagi yang mereka mahu buat terhadap saya,” ujar Suhaili yang agak terkilan kerana Majlis Tertinggi UMNO menjadikan alasan rayuan Pendakwaraya sebagai faktor penyebab beliau belum dibenarkan memegang kembali jawatannya yang digantung Majlis Tertinggi UMNO.

Isu rayuan pendakwaraya, kata Suhaili, tidak sewajarnya timbul kerana tidak ada kena mengena dengan beliau dan hanya melibatkan masalah teknikal sedangkan mahkamah secara total telah membebaskan beliau.

“Apakah saya perlu memfailkan prosiding menghina mahkamah terhadap Majlis Tertinggi UMNO dan kesannya saya akan dipecat seumur hidup? Saya rasa mungkin tiba masanya menentukan hala tuju politik saya kerana UMNO seolah-olah sudah menutup pintu dan mencari pelbagai alasan untuk membunuh kerjaya politik saya,” ujar Suhaili yang sudah mula menggerakkan jenteranya untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Sejak Suhaili digantung daripada jawatannya pada 8 Mei 2009, sehari selepas beliau didakwa di mahkamah ‘Kangaroo UMNO’ atas tuduhan yang dipinda beberapa kali; daripada Kad Pengenalan Palsu dan Akta Kebankrapan; beliau telah melalui kehidupan yang sukar dan bersabar dengan pelbagai dugaan hidup termasuk kematian isterinya.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menegaskan bahawa jawatan seseorang pemimpin UMNO yang didakwa di mahkamah digantung sehingga proses perbicaraan selesai dan jika didapati tidak bersalah maka jawatannya akan dikembalikan.

Namun kata Presiden UMNO tidak dikotakan oleh Majlis Tertinggi UMNO kerana walaupun Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah memutuskan bahawa Suhaili telah dibebaskan daripada tuduhan Akta Kebankrapan pada 27 September 2010, namun Suhaili bagaikan dipasung mati kerana Majlis Tertinggi enggan membenarkan beliau memegang jawatan yang dimenangi secara sah.

“Memang ada tangan ghaib di dalam UMNO yang mengotorkan tangan Presiden UMNO, tapi belum tiba masanya untuk saya dedahkan; melainkan jika terpaksa,” ujar Suhaili mengulangi amarannya yang tidak teragak-agak untuk bertindak di sebaliknya jika masa hadapan politiknya cuba dimusnahkan.

Kata Suhaili, Rahim Tamby Chik juga pernah menghadapi isu yang sama dengan beliau namun setelah kesnya selesai, maka UMNO memulangkan semula jawatan beliau ketika itu, tetapi UMNO mengamalkan ‘Double Standard’ dalam kes beliau.

“Saya kesal kerana ramai ahli UMNO Labuan telah meninggalkan parti kerana kecewa dengan sikap pemimpin UMNO yang menganiaya saya, tetapi saya yakin mereka akan tetap bersama saya, tanpa mengira parti apa pun yang saya sertai,” ujar Suhaili penuh yakin.

No comments:

Post a Comment