Thursday 13 January 2011

AHLI PARTI BOLEH JADI SPEAKER?



Oleh: ISHAK YAHYA JR.

PANDANGAN umum bahawa Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said perlu meletakkan jawatannya sebagai Ketua UMNO Kota Belud dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah sebelum boleh dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah adalah tidak tepat.

Menurut amalan di beberapa negeri terutama Perak dan Selangor menunjukkan bahawa ahli parti tidak perlu meletakkan jawatan mereka di dalam parti masing-masing semata-mata bagi memastikan mereka tidak berat sebelah ketika mengendalikan Persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Salleh tidak perlu mengikuti tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia yang meletakkan jawatannya sebagai Ketua UMNO Marudu kerana tidak ada keperluan untuk beliau berbuat demikian, apatah lagi semua Adun di Dewan Undangan Negeri adalah berdasar parti yang mereka wakili, sekalipun yang mengisytiharkan diri mereka sebagai Adun Bebas,” ujar Aktivis Politik, Datuk Patrick Sindu.

Menurut Patrick, perlantikan Salleh sebagai Speaker DUN Sabah sebagai paling istimewa kerana beliau mampu memperkasa UMNO Sabah dan dalam masa yang sama mampu mengendalikan Sidang Dewan Undangan Negeri dengan sempurna dan professional.

“Tidak ada salahnya ahli mana-mana parti dilantik menjadi Speaker kerana beliau akan mengendalikan semua YB daripada parti politik di Sabah. Tidak ada peruntukan yang mewajibkan beliau meletakkan jawatan sebelum boleh dilantik sebagai Speaker,” ujar Patrick yang kini merupakan salah seorang panel penasihat UBF.

No comments:

Post a Comment