Sunday 16 January 2011

AJK PERLU JAGA IMEJ MASJID HADHARI



SURAT CARA...Nasir (dua kanan) diringi Amri Suratman (tiga kanan) dan Iliyas Ibrahim (kanan) menyampaikan surat cara Pengerusi JK Masjid MBKK kepada Ab Jamal (kiri) sempena majlis itu.

Oleh: ARSHAD HUSSIN

MENTERI Di Jabatan Ketua Menteri, Dato Sri Haji Nasir Tun Sakaran mengingatkan Ahli Jawatankuasa Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang baru dilantik menjaga imej Masjid Hadhari Ke-2 di negara ini yang dinobatkan kepada masjid itu.

Katanya, kini seluruh mata akan tertumpu kepada masjid itu untuk melihat kelebihan yang ada di masjid itu berbanding lebih 6,000 buah masjid lain di seluruh negara.

Jestru itu katanya, AJK yang baru dilantik juga perlu berada selangkah ke hadapan untuk menyediakan keperluan hidup berugama kepada masyarakat serta mengatasi kekangan dalam menonjolkan keindahan hidup berlandaskan syariat Islam.

Sehubungan itu, kerajaan berharap perlantikan AJK Kariah mampu berusaha gigih mengangkat martabat Islam dengan membawa golongan muda mengimarahkan masjid dan membangunkan jiwa besar yang mendaulatkan syariat-Nya dalam semua aspek bagi mewarnai negara makmur serta mendapat keampunan Allah SWT.

Dato Sri Nasir berkata demikian sempena majlis Penyampaian Surat Cara Perlantikan dan Ikrar AJK Masjid Bandaraya Kota Kinabalu sesi 2011-2012 Penggal Ke-6.

Hadirsama dimajlis itu Pengarah JHEAINS, Datuk Haji Amri A.Suratman; Mayor DBKK, Datuk Iliyas Ibrahim dan Wakil JAKIM, Ustaz Shamsuri Ghazali.

IKRAR...Ab Jama (kiri),Yahamad (dua kiri) dan sebahagian AJK MBKK membaca ikrar sempena majlis penyampaian surat cara perlantikan itu.

Nasir berkata, AJK masjid dilantik bukan sahaja harus memikirkan kebersihan dan keindahan tetapi mesti juga memikirkan bagaimana masjid mampu menjadi pusat mentransformasi masyarakat menghayati kehidupan harian dalam acuan Islam secara individu, keluarga serta jiran.

Katanya lagi, seiring dengan sektor lain, AJK masjid perlu sama-sama membangunkan masyarakat hidup berharmoni kaum,mempunyai tahap peduli sosial yang tinggi serta mengambil bahagian dalam pembangunan berasaskan syariah.

AJK MBKK...Nasir (duduk tengah), Amri (duduk tiga kiri) dan Eliyas (duduk tiga kanan) mengabadikan gambar kenangan bersama AJK MBKK sesi 2011-2012 sempena majlis itu.

Dato’ Sri Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam negeri Sabah, meminta JHEAINS sentiasa memantau pejabat dan kakitangannya di setiap daerah bagi melicinkan lagi perkhidmatan lebih tulus, telus, berkesan serta mempunyai kakitangan yang lebih komited berkhidmat kepada rakyat.

Beliau menjelaskan, rakyat di semua daerah mengharapkan pegawai dan kakitangan kerajaan sentiasa komited bertugas dengan perkhidmatan lebih cemerlang dan bertanggungjawab selaras dengan merealisasikan konsep 1Malaysia, Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.

Nasir menegaskan, rakyat yang berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan di setiap daerah telah berkorban masa dan perbelanjaan semata-mata ingin menyelesaikan urusan yang berhubungkait dengan peraturan kerajaan dan hal ehwal agama namun apabila pegawai dan kakitangan kerajaan dan agensi kerajaan sambil lewa serta tidak komited membantu rakyat ianya boleh menjejaskan reputasi serta imej kerajaan.

.

No comments:

Post a Comment