Wednesday 12 January 2011

SALLEH DILANTIK SPEAKER DUN SABAH!



BEKAS Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak pada Rabu dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, mengambil alih tugas selaku Speaker yang kelapan bagi menggantikan Datuk Juhar Mahiruddin, yang telah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri mulai 1 Jan lalu.

Pelantikan Salleh diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri.

Musa berkata Salleh akan memegang jawatan tersebut pada 17 Jan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah diberitahu mengenai pelantikan itu.

Salleh yang juga Penasihat Sains kepada Ketua Menteri dilahirkan pada 7 Julai 1957 di Kota Belud.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Politik daripada Simon Fraser University, Kanada dan ijazah Sarjana (Politik dan Kerajaan) daripada Universiti Putra Malaysia.

Salleh memulakan kariernya dalam perkhidmatan awam pada 1983 sebagai Pegawai Daerah Kota Belud dan dua tahun kemudian dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri.

Belau kemudian menjadi Ketua Menteri dari 27 Dis 1994 hingga 17 Mac 1996 di bawah sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri di kalangan tiga komuniti utama Sabah.

Beliau turut berkhidmat sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah pada 2003.

Salleh yang juga Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) berkahwin dengan Datin Seri Raya Erom dan mempunyai empat orang anak.

Beliau berterima kasih kepada Musa di atas pelantikannya sebagai Speaker.

"Saya akan menjalankan tanggungjawab saya sebaik mungkin," katanya.

Beliau juga berkata sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, beliau akan terus membantu Musa untuk menguatkan Umno di Sabah.

(BERNAMA)

No comments:

Post a Comment