Monday 3 January 2011

GAMBAR MANGSA ROGOL LANGGAR ETIKA



Saudara Pengarang,

KAMI, Pusat Kewartawan Bebas Malaysia yang beribupejabat di Kuala Lumpur, ingin menyampaikan rasa khuatir kami mengenai penerbitan gambar seorang gadis yang dikatakan mangsa rogol, dalam berita Sabahkini.net.

Etika kewartawanan menekankan bahawa pihak media tidak patut menyiarkan sebarang maklumat atau gambar yang boleh mengenalpasti mangsa keganasan seks.

Penerbitan gambar gadis yang dikatakan mangsa rogol itu melanggar etika ini. Ia tidak membantu kes gadis tersebut dan sebaliknya berkemungkinan menyebabkan dia ditimpa lebih banyak bahaya daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, di samping juga gangguan dan perhatian yang tidak diingini daripada pihak lain.

Kami menggesa Pengarang Sabahkini.net supaya mengeluarkan gambar gadis itu serta-merta demi menjaga keselamatannya. Pihak media sepatutnya berfungsi untuk kepentingan umum tanpa mengorbankan hak privasi seorang individu, terutamanya seorang mangsa yang sudahpun melalui trauma rogol.

Yang Benar,

CHUAH SIEW ENG

Pegawai Program Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia

1 comment:

  1. Jadi...apa tindakan SabahKini.Net..adakah hanya mengeluarkan gambar tersebut sahaja? Tidak pernah terfikirkah wartawan mahupun individu yang terbabit memaparkan gambar tersebut akan akibat tindakannya? Mahukan populariti semata-mata terhadap berita tersebut? Tindakan yang konkrit dan padu harus dikenakan terhadap wartawan/individu yang menyiarkan gambar tersebut.

    ReplyDelete