Friday 7 January 2011

HASRAT PEMBANGKANG SUDAH TERKUBUR



Oleh: RIZALMAN ABDULLAH

PERTAMA sekali saya ingin merakamkan ucapan Terima Kasih kepada Ibn Abdullah kerana sedikit sebanyak telah membuka minda kita. Sebenarnya hasrat pembangkang untuk menawan Putrajaya sudah lama terkubur. Ini jelas terbukti melalui ‘Projek 16 September’ yang diilhamkan Anwar Ibrahim ternyata gagal.

Pada waktu itu beliau mewar-warkan ke seluruh dunia bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri dan Suara Keadilan turut menerbitkan satu muka khas di mana terdapat kabinet bayangan mereka jika berjaya menawan Putrajaya, ternyata semua itu adalah pembohongan dan pembangkang jelas tidak berpijak di bumi yang nyata.

Apapun yang diwar-warkan oleh pembangkang ibarat ‘iklan’ yang tidak berfungsi, mereka mengumumkan suatu yang tidak akan berlaku. Pembangkang hanya tahu menabur janji yang manisnya hanya di bibir sahaja.

Pada saya, tuduhan Ibn Abdullah bahawa UMNO/BN mabuk kuasa adalah satu tuduhan yang tidak berasas. Kita berbicara perlu lebih berpaksikan pada fakta yang tepat dan bukannya dengan perasaan marah. Kita tidak boleh berfikiran terlalu sempit kerana fikiran yang sempit itu akan mencetuskan suatu yang ‘sempit’ atau tidak relevan.

Kita seharusnya mengambil ikhtibar dengan perkara yang berlaku, kita tidak boleh terus berbohong dan berpura-pura. Kita perlu lebih berprinsip, jangan terus menuduh, memfitnah dan menafikan sumbangan kerajaan terhadap rakyat walhal kerajaan telah melakukan pelbagai pembaharuan dan pembangunan di Sabah khususnya.

Kita mempunyai kewarasan akal untuk berfikir, ambil pelajaran daripada apa yang berlaku seperti mana dijelaskan dalam Surah Al-Hasyr: 2, "Ambillah pelajaran wahai orang-orang yang mempunyai pemikiran".

In Mexico, an air conditioner is called a ‘politician’ because it makes lot of noise but doesn't work very well!

Saya boleh ibaratkan pembangkang seperti ‘air conditioner’ kerana mereka banyak bersuara dan bercakap namun tidak berfungsi dengan baik. Semuanya hanya omongan kosong.

Saya tidak menggelabah, soal dicalonkan atau tidak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) bukanlah perkara pokok bagi saya. Perjuangan saya adalah untuk kepentingan rakyat, masa depan anak-anak Sabah, saya perlu pastikan nasib mereka terus terbela dan bukan untuk mencapai ‘angan-angan’ peribadi.

Saya tidak dicalonkan dalam dua PRU yang lepas, namun saya tidak terlalu berharap kerana dalam politik kita tidak boleh terlalu banyak berharap, yang penting sekali saya masih setia pada UMNO/BN kerana bagi saya perjuangan UMNO adalah untuk semua dan bukan untuk individu tertentu seperti mana yang berlaku dalam PKR di mana perjuangan mereka adalah untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, hanya itu matlamat mereka.

Apakah Ibn Abdullah terlalu bijak, yakni dengan meminta saya memuji kebaikan pembangkang yang bersifat sementara itu? Pengurusan air yang tidak betul di Selangor hanya menyusahkan rakyat. Ibn Abdullah perlu ingat, Kerajaan Barisan Nasional juga memberikan bantuan kepada golongan warga emas, bahkan bantuan yang diberikan kerajaan adalah ikhlas dan halal.

Lihat apa yang berlaku di Pulau Pinang, golongan warga emas diberikan bantuan daripada duit judi, apakah hukumnya wahai Ibn Abdullah? Janji kerajaan Selangor akan memberikan biasiswa khas kepada anak-anak Selangor yang menjadi pelajar IPTA/IPTS tidak diselaraskan dengan betul, sehingga ke hari ini ada yang masih tidak menerima satu sen pun dari kerajaan negeri Selangor.

Tambahan pula, hari ini kerajaan Barisan Nasional mengumumkan cuti bergaji penuh selama 90 hari kepada ibu-ibu yang bersalin.

Adakah menghina Sultan itu sikap terpuji pembangkang? Apakah itu contoh yang terbaik dan Menteri Besar Kedah yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada wartawan, apakah itu contoh terbaik yang asyik berkopiah namun perbuatan mereka tidak seindah penampilan mereka itu.

Bukankah kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor dan Pulau Pinang yang mencuri/merompak pasir? Lihat juga kerakusan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, merobohkan rumah tempat rakyat berteduh. Surau juga turut dirobohkan dan tulisan jawi pada papan tanda juga turut dikritik, apakah itu contoh terbaik? Ibn Abdullah perlu lebih banyak membuat rujukan.

Selama ini pembangkang hanya tahu bercakap sahaja tapi tidak melakukannya. Pembangkang harus melakukan sesuatu yang mereka katakan dan bukan hanya pandai bercakap sahaja, berucap di sana-sini seperti radio.

Janganlah mengatakan sesuatu yang kita tidak lakukan kerana Allah SWT amat murka dengan perbuatan seperti itu dalam Surah As-Soff: 2, ada dinyatakan "Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu mengatakan suatu yang kamu tidak lakukan? Amat besarlah kemurkaan Allah kepada mereka yang mengamalkan apa yang mereka katakan".

Akhir sekali, saya ingin menyeru kepada pembangkang untuk melakukan suatu kebaikan untuk rakyat dan bukan pembohongan kerana apa pun kebaikan yang kita lakukan akan membawa manfaat untuk diri kita sendiri.

Bersama-samalah kita renungkan surah ini:

"Barang siapa yang berbuat kebaikan sesuai dengan apa yang dihidayahkan maka sesungguhnya dia telah membuat kebaikan untuk dirinya sendiri. Dan siapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatan itu merugikan dirinya sendiri". (Surah Al-Isra : 15).

1 comment:

  1. Tulisan jawi – Amat cantik
    http://sifoo.com/topic/315-taipset-jawi-dalam-word-indesign
    Semakin Terancam?! Semarak Jawi

    ReplyDelete