Thursday 27 January 2011

KEMISKINAN BUKAN PENGHALANG KEJAYAAN



TABIK….Jamawi sedang membalas tabik lintas hormat daripada kontingen yang terlibat.

Oleh: MAIL MATHEW

GENERASI muda masa kini disaran agar tidak mudah mengalah dan berputus asa hanya kerana masalah kemiskinan menghantui mereka sehingga gagal melanjutkan pelajaran; namun harus berusaha untuk mecuba bidang lain seperti berniaga secara kecil-kecilan untuk menstabilkan sosio ekonomi keluarga.

Malahan usaha seperti itu turut membantu keluarga menyara persekolahan anak anak walaupun tidak semewah yang diharapkan. Apa yang lebih penting anak anak itu tidak tercicir didalam mendapat pendidikan seawal zamannya.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Pusat, Jamawi Jaafar berkata demikian ketika merasmikan Temasya Obor Gemilang Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Entabuan kira-kira lima kilometer dari pekan Tenom.

Tegasnya lagi, sebab itu Pemuda Umno mengambil langkah berani dengan mengambil 30 pelajar yang dikategorikan sebagai pelajar miskin sebagai anak angkat pada tahun lepas. Hasilnya, kesemua pelajar tersebut telah mendapat pencapaian cemerlang di dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Saya juga seorang daripada pelajar miskin. Ayah sekadar penoreh getah, tetapi ibu buat kuih muih suruh saya jual di sekolah. Hasil jualan setiap hari saya beri kepada ibu yang dengan tidak disedari rupa-rupanya hasil pendapatan itu ibu simpan untuk dana pendidikan saya di kemudian hari,” tegas Jamawi.

“Saya tahu setakat mana kemampuan saya apabila ditawarkan menuntut di UPM selepas selesai pengajian Tingkatan Enam di Kota Kinabalu. Tetapi dengan kecekalan dan kesungguhan untuk menimba ilmu, saya teruskan niat itu walaupun pada ketika itu hanya RM300 wang kocek ketika masuk UPM. Akhirnya ternyata kejayaan itu memihak kepada saya,” tambahnya lagi.

Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tenom dan Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan seterusnya menegaskan bahawa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan meneruskan sistem e-kasih ketika mendaftarkan pelajar miskin yang baru diperkenalkan.

Katanya, walaupun pada peringkat awal terdapat sedikit kekecohan berpunca daripada sedikit kelemahan sistem itu namun selepas itu ia berupaya diatasi dengan sebaik mungkin.

Dalama pada itu mengenai dengan Isu Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) Jamawi berkata, beliau telah difahamkan bahawa pihak Jabatan Pendidikan Sabah (JPS) kini sedang dalam proses untuk mengeluarkan surat surat perlantikan selepas meneliti latar belakang mereka yang telah berkhidmat dua tahun ke atas.

No comments:

Post a Comment