Saturday 1 January 2011

KERAJAAN BN SABAH TOLAK TUAH



Oleh: SURIATI MAHMUD

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) Sabah disifatkan sebagai menolak tuah dan terus menyebabkan bahagian utara Sabah yang berpotensi menarik pelancong sebagai kawasan yang terus mundur untuk melestarikan agenda mereka menjadikan rakyat Sabah miskin dan terus bergantung kepada ehsan BN.

“Kudat sepatutnya boleh maju dengan cepat jika Patung Dewi Laut Mazu dibenarkan didirikan di atas tapak yang telah disiapkan tanpa sebarang campurtangan politik,” ujar Johani Abdul Halim yang menyifatkan campurtangan kerajaan negeri Sabah mencabul kebebasan beragama yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan menghina agama Islam yang syumul.

Menurut Johani, beliau baru kembali daripada Kudat dan sedih dengan kekejaman Kerajaan BN Sabah yang munafik kerana menghalang pembinaan patung Dewi Laut Mazu yang mempunyai pelbagai fungsi; terutama untuk menarik pelancong ke Kudat.


Cadangan Kerajaan Negeri untuk membina Patung Mazu kedua di Pantai Bak Bak sebagai cadangan orang yang tidak masuk akal kerana pelancong tidak akan singgah ke Kudat sebagaimana sebelum ini selepas mereke melawat Simpang Mengayau.

“Cadangan Mantan Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat untuk membina patung Mazu sewajarnya disambut oleh seluruh warga Sabah untuk membuktikan bahawa tidak berlaku penindasan agama dan rakyat Sabah hidup secara harmoni tanpa mengambil kira asal keturunan dan fahaman agama; sekaligus melenyapkan tafsiran barat bahawa Islam adalah teroris,” ujar Johani yang juga Ketua Cabang PKR Silam.

Tegas Johani, jika 20 % daripada 200 juta penganut Mazu dunia menziarahi Kudat maka Kudat akan lebih maju daripada Langkawi dan Kota Kinabalu.

“Sekurang-kurangnya Kudat akan dibanjiri pelancong secara tetap dua kali setahun iaitu pada 23 Mac dan 9 September kerana dua hari besar ini merupakan hari kebesaran untuk penganut Mazu. Dengan ini Kudat akan membangun secara mendadak dan ekonomi Kudat yang lembap akan pulih serta merta,” ujar Johani yang menggesa agar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman tidak terlalu keras kepala dan menunjukkan sifat munafiknya melakukan kekejaman terhadap penganut agama lain.

Kini tibalah masanya kata Johani, warga Tiong Hua mentaati ajaran nenek moyang mereka dengan memilih Pakatan Rakyat sebagai Kerajaan Negeri dalam pilihanraya umum akan datang untuk menghentikan kezaliman daripada berlarutan.

“Untuk apa kita cakap banyak kerana BN tidak lagi memenuhi aspirasi masyarakat Tiong Hua sehingga terpaksa meminta izin untuk mendirikan rumah ibadah sekalipun di atas tanah persendirian, berbanding BN membina pusat maksiat secara wewenang,” tegas Johani yang merancang untuk menawan Kudat daripada BN pada pilihanraya umum akan datang.

No comments:

Post a Comment