Friday 7 January 2011

LABUAN MILIK PAKATAN RAKYAT PRU-13?



Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

MANTAN Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang digantung tidak bertali oleh Ibu Pejabat UMNO setelah Pendaftar Pertubuhan Malaysia membenarkan beliau kembali memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Labuan; diwar-warkan akan merampas kerusi berkenaan daripada Barisan Nasional (UMNO) pada pilihanraya umum akan datang.

Suhaili yang sebelum ini mendakwa dirinya menjadi mangsa konspirasi Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, tidak menolak kemungkinan beliau menerima tawaran Parti Keadilan Rakyat untuk menyertai parti itu dan bersedia dicalonkan menentang calon BN pada pilihanraya umum akan datang.

“Saya orang politik. Walau dicantas atau ditikam dari belakang, saya tetap akan bangkit memperjuangkan masa hadapan Labuan, sekalipun bukan dengan tiket BN atau Pembangkang,” ujar Suhaili ketika dihubungi Sabahkini.net berhubung desas desus yang bertiup kencang dan setelah isu penggantungannya disiarkan Sabahkini.net.

Suhaili mengakui ada pihak telah melamarnya, namun menyatakan belum tiba masanya mengumumkan parti pilihan beliau kerana masih berharap agar penggantungan jawatan beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian Labuan ditarik balik, ekoran kes rasuah yang dihadapinya telah diputuskan di mahkamah dan Pendaftar Pertubuhan menerima rayuan beliau untuk kembali memegang jawatan selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan.

“Jika tiba masanya, saya akan membuat pengumuman rasmi sama ada saya sertai mana-mana parti pembangkang kerana semua parti baik. Sama ada saya sertai PKR atau PAS tidak timbul kerana mereka adalah Pakatan Rakyat,” ujar Suhaili yang menafikan beliau menyertai pembangkang untuk membalas dendam; sebaliknya untuk meneruskan perjuangan politik beliau yang belum selesai setelah digantikan oleh Datuk Haji Mohd Yusof Mahal pada pilihanraya umum 2008 melalui konspirasi paling licik.

Suhaili yang mewakili Labuan sejak 1999, yakin beliau akan dapat memenangi kerusi berkenaan, tanpa mengira parti apa yang beliau wakili kerana beliau percaya rakyat akan berpendapat, bahawa Labuan akan terus menjadi ‘Anak Emas’ Kerajaan Persekutuan sekalipun diwakili pembangkang.

Kata Suhaili, jika UMNO tidak lagi memerlukan beliau dan mengenakan ‘embargo’ serta tidak menghormati perlembagaan parti, untuk apa lagi beliau bertahan di dalam UMNO?

Jika tekad Suhaili dilestarikan, UMNO Labuan terpaksa gulung tikar kerana hampir majority ahli UMNO adalah penyokong akar umbi Suhaili selama ini. Sekalipun mereka ditindas oleh Ahli Parlimen baru, namun kesetiaan mereka kepada Suhaili tidak berganjak.

“BN (UMNO) kena bertindak segera kerana arus politik Suhaili semakin deras kerana beliau mempunyai karisma untuk mengawal arus sokongan ahli UMNO di Labuan kerana majoriti ahli UMNO sanggup ‘do or die’ bersama Suhaili,” ujar Dr Awang A Ghazali, seorang pemerhati politik Malaysia.

Dr Awang melihat senario politik ini amat berbahaya kerana faktor lokaliti dan semangat parochial yang sempit membuatkan ahli atau pengundi bertindak mengikut arus pengaruh dan karisma pemimpin yang mampu memperjuangkan hak mereka.

“Ketaksuban ini agak bahaya dan kalau BN gagal mengekang ledakan kemarahan ini, akan merebak ke Sabah dan seterusnya menghasilkan Tsunami politik paling besar berbanding 2008 kerana PKR sudah hampir selesai membersih semua pengkhianat yang ditanam oleh UMNO selama ini,” ujar Dr Awang lagi yang tidak menolak kemungkinan pandangan Raja Petra Kamaruddin bahawa Parlimen Malaysia digantung selepas pilihanraya umum ke 13.

1 comment:

  1. Diminta pihak atasan UMNO....tengoklah dengan mata besar...pemimpin yang mana satu rakyat labuan nak...anak-anak labuan harap UMNO jangan lagi buat kesilapan terhadap Labuan...Dato Suhaili adalah pemimpin yang disayangi oleh rakyat labuan...janganlah agenda individual-individual dalam UMNO di semenanjung yang TIDAK memahami kita di sini yang mengakibatkan kekalahan BN dalam PRU-13....

    ReplyDelete