Sunday 2 January 2011

MPS GAGAL SELENGGARA LORONG BELAKANG


BERTABURAN….Kelihatan longgokan sampah sarap bertaburan di sana sini dan air bertakung di belakang lorong bangunan blok 17 Pusat Bandar Sandakan.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

KEGAGALAN pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Perbandaran Sandakan dalam menjaga kebersihan di kawasan lorong-lorong belakang beberapa bangunan di Pusat Bandar Sandakan ternyata telah memberi impak yang kurang sihat pada pandangan mata warga daerah Sandakan dan juga para pengunjung luar.

Kempen Kebersihan sudahpun dijalankan pada awal Januari 2010 dan telah menguatkuasakan undang-undang ‘Anti-Liter’ dan sesiapa saja mereka didapati membuang sampah merata-rata akan dikenakan kompaun bagi kesalahan pertama antara RM30.00 hingga RM5,000.

Dalam pada itu, secara kebetulan wartawan kanan Sabahkini.Net lalu di belakang lorong bangunan blok 17 dan terlihat sampah sarap bertaburan di sana sini malahan juga terdapat air bertakung dan berbau busuk.

Beberapa orang peniaga yang sempat ditemui dan meminta nama mereka dirahsiakan menjelaskan bau busuk tersebut ekoran daripada saluran parit yang tersumbat sekian lama tidak diurus oleh pihak MPS sehingga menimbulkan pelbagai reaksi, bukan sahaja kepada orang ramai yang lalu lalang di lorong itu, bahkan ia juga membabitkan kepada para peniaga dan penghuni bangunan tersebut.

“Kami sudah berkali-kali beritahu pihak MPS mengenai masalah parit tersumbat tetapi mereka tidak peduli mengenai fenomena ini pada setiap hari kelihatan beberapa ekor tikus keluar berkeliaran untuk memakan sisa-sisa buangan,” kata Chong salah seorang pembantu kedai.

Dalam pada itu, antara petikan ucapan Ahli Parlimen Sandakan, Datuk VK Liew semasa merasmikan Konsert Gempak Tahun Baru 2011 baru-baru ini, beliau ada menyebut bahawa daerah Sandakan telah diiktiraf sebagai Kota Alam Semulajadi dan beliau bangga dengan keindahan dan alam sekitar yang terdapat di daerah ini.

Namun sebaliknya, jika beliau melihat lorong-lorong bangunan seperti di lorong Blok 17 di Pusat Bandar, sudah pastinya beliau akan kecewa dengan keadaan yang berlaku kerana mencemarkan nama baik bandar Sandakan di mata para pelancong asing yang sering berkunjung ke daerah ini.

No comments:

Post a Comment