Monday 10 January 2011

PATI DAN KERETA SAPU, RESEPI BASI



Saudara Pengarang,

MASALAH pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaja secara haram di sekitar Bandar Palma Lahad Datu, terutama di Pasar Ikan dan sekeliling Pasar Rakyat seperti tidak dihiraukan oleh Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) kerana menganggapnya sebagai resepi basi di Lahad Datu..

Senario Lahad Datu hari ini saling tidak tumpah seperti bandar Zamboanga, Siasi, Sitangkai di Filipina atau Tarakan dan Nunukan di Indonesia. Jika produser filem ingin membuat rakaman berlatar belakang Filipina atau Indonesia tidak perlu ke Negara berkenaan kerana Lahad Datu lebih Filipina atau Indonesia.

Segala jenis jenayah bebas dilakukan di Lahad Datu termasuk pengedaran dadah, persundalan, pecah rumah, peras ugut, ragut, penyeludupan dan rogol kerana terlalu banyak sarang maksiat dan jenayah di koloni setinggan yang berdekatan Bandar; malah ‘Hotel Jagokota’ diiktiraf kerajaan sebagai ‘Pusat Pemerdagangan orang dan Persundalan!’

Selain daripada itu, perkhidmatan kereta sapu juga sudah terlalu banyak sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana mereka meletak kereta di lorong kiri yang sepatutnya digunakan laluan. Keadaan ini lebih teruk di sekitar pasar ikan Lahad Datu.

Sebagai warga asal Lahad Datu, kami berharap agar sabahkini.net dapat menyiarkan masalah ini agar Polis Lahad Datu tidak berpeluk tubuh dengan meningkatkannya jenayah dan Jabatan Pengangkutan Jalan menjalankan kerja membanteras kereta sapu yang menimbulkan banyak masalah sejak lebih tiga dekad lalu.

Salam Hormat,

WARGA ‘ORI’ LAHAD DATU

No comments:

Post a Comment